PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menempah slot suku akhir apabila menewaskan kelab Liga A1-Semi Pro, Kuala Lumpur (KL) Rovers, 6-0 pada aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan mara dengan agregat 9-0 selepas menang 3-0 pada perlawanan pertama, akan menanti pemenang perlawanan antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) Ahad ini.
JDT bermula garang sebaik wisel permulaan dalam usaha memburu jaringan pembukaan.
Namun, benteng pertahanan pelawat berjaya mengekang asakan-asakan berkenaan selain deretan peluang gagal disempurnakan jentera serangan skuad Harimau Selatan itu.
Bagaimanapun, pintu gol pelawat akhirnya bolos juga pada minit ke-12, apabila pemain pertahanan Mohd Raffi Nagorghani, tertampan bola ke pintu gol sendiri ketika cuba mengekang percubaan jentera serangan tuan rumah.
Pintu gol pelawat sekali lagi dibolosi pada minit ke-32, hasil rembatan deras pemain pertahanan Corbin-Ong yang tenang memanfaatkan bola muntah daripada benteng pertahanan lawan untuk gol kedua skuad kendalian Hector Bidoglio itu.
JDT semakin menggandakan asakan pada penghujung babak pertama dan menyaksikan bekas penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez meledak gol ketiga hasil gerakan satu dua menarik dengan Nazmi Faiz Manor pada minit ke-47 untuk skuad Harimau Selatan selesa menuju bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, JDT dilihat semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan.
Bagaimanapun, gol keempat skuad Harimau Selatan itu hanya dapat dijelmakan pada minit ke-74, hasil jaringan pemain gantian, Bergson Da Silva.
Bergson kemudiannya merembat gol kelima yang juga gol kedua peribadinya pada minit ke-81.
Minit ke-87, menyaksikan seorang lagi pemain gantian, Mohamadou Sumareh meledak jaringan keenam dan sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan.
Biarpun mendahului 7-0, kesebelasan JDT tidak mahu mengendurkan serangan sebaliknya terus mengasak ke gawang pelawat bagi menambah lagi jaringan sedia ada.
Bagaimanapun, tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga ke wisel penamat dan menyaksikan keputusan 6-0 kekal ke wisel penamat.