PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Xisco Munoz menyifatkan kejayaan meraih tiga mata adalah lebih penting, meskipun mengakui pasukannya mampu mempamerkan prestasi keseluruhan yang lebih baik ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Melaka FC dalam aski Liga Super di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.
Beliau berkata, walaupun JDT menguasai sebahagian besar perlawanan dengan mencipta beberapa peluang serangan yang baik serta tahap pertahanan yang ampuh, ia bukanlah persembahan terbaik mereka dan masih terdapat beberapa aspek perlu diperbaiki menjelang perlawanan penting akan datang.
“Paling penting meraih tiga mata. Saya rasa kami boleh bermain dengan lebih baik dari segi tindakan, gaya permainan dan beberapa perkara lain. Ini kadang-kadang berlaku dan kami hanya perlu belajar serta cuba memperbaikinya untuk perlawanan akan datang.
“Selalunya kita mencipta banyak percubaan dan situasi serangan yang sangat jelas. Kita juga agresif di bahagaian pertahanan. Hari ini jumlahnya biasa saja tetapi saya rasa kita masih boleh memberikan persembahan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Terdahulu, JDT meraih tiga mata selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Melaka FC, dengan Ager Aketxe membuka jaringan pada minit ke-44 sebelum Marcos Guilherme menggandakan kelebihan pada masa kecederaan separuh masa pertama (45+1).
Melaka FC merapatkan jurang pada minit ke-73 menerusi jaringan Dino Kalesic, namun ia tidak cukup untuk menghalang Johor Darul Ta’zim FC (JDT) daripada meraih kemenangan.
Munoz berkata, tumpuan kini terarah kepada usaha menamatkan musim dengan cemerlang, dengan JDT masih berdepan cabaran besar termasuk kempen Piala Shopee serta final Piala Malaysia.
Beliau berkata, mengekalkan momentum dan situasi positif menjelang penghujung musim amat penting, seiring harapan serta standard tinggi kelab itu.
“Cabaran besar sedang menunggu. Kita mahu menamatkan musim ini dengan perasaan yang positif. Perkara paling penting adalah sentiasa memberikan yang terbaik, tanpa mengira tahap atau pemain yang berada di atas padang. Apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita mengakhiri musim ini kerana perkara yang lepas sudah tidak penting,” katanya.
Mengenai Piala Shopee, Munoz berkata, JDT bertekad untuk melangkah sejauh mungkin dan akan membuat persiapan rapi bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik untuk mara ke pentas akhir.
“Kita perlu membuat bersedia untuk setiap perlawanan kerana ia penting untuk kita mara ke final. Apabila sampai ke sana (final), baru kita lihat apa seterusnya. Apa yang penting bagi kelab adalah kita sentiasa berusaha yang terbaik dan tiba di saat penting ini dalam keadaan terbaik,” katanya.
JDT kekal di puncak kedudukan Liga Super dengan 64 mata, manakala Melaka FC berada di tempat ke-11 dengan 17 mata. – Bernama



