sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Sri Pahang FC berdepan kesukaran untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Bekas pemain kebangsaan, Mohd Razman Roslan, berkata kesukaran itu dilihat kepada prestasi semasa JDT yang berada pada kelas tersendiri.
“Dalam situasi semasa walaupun Sri ahang beraksi baik tetapi secara peribadi agak sukar untuk skuad Tok Gajah mencipta kejutan ke atas Harimau Selatan.
“Ini kerana kita tahu bahawa pasukan JDT adalah pasukan yang sangat baik dan berada pada kelas tersendiri dengan kualiti pemain.
“Bagi saya mungkin agak sukar untuk Sri Pahang mencipta kejutan,” kata Mohd Razman yang juga bekas kapten Pahang pada 2014.
Ditanya perbezaan kedua-dua pasukan pada 2014 dan 2024/2025, Mohd Razman berkata, Pahang dan JDT pada musim 2014 mempunyai pasukan dan pemain yang seimbang.
Namun, katanya, JDT dilihat mempunyai banyak kelebihan pada musim 2024/2025 kerana setiap tahun Harimau Selatan memperbaiki dan menguatkan pasukan dengan kehadiran pemain-pemain berkualiti.
“Jadi jurang perbezaan antara Sri Pahang dan JDT sangat jauh,” kata pemain berusia 40 tahun itu.
Namun, Mohd Razman berkata, disiplin dan semangat juang ingg sepasukan diharap menjadi kunci Sri Pahang untuk mengekang asakan serangan JDT.
“Ini kerana Harimau Selatan sememangnya yang diketahui memiliki ramai penyerang berbisa dan pemain tengah yang boleh menjaringkan gol,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




