Riyadh: Pelumba BMX Perancis, Anthony Jeanjean meraih gelaran dunia pertamanya selepas mempamerkan aksi menakjubkan dalam final acara freestyle park di Kejohanan Berbasikal Bandar Dunia UCI, hari ini.
Atlet berusia 27 tahun itu terjatuh pada percubaan pertama, namun berjaya menebusnya dengan persembahan cemerlang pada percubaan kedua dengan aksi bertenaga di arena yang terletak di daerah Boulevard City, Riyadh.
Dengan gabungan aksi triple tail whip, double flair dan helah istimewanya double back flip, Jeanjean berjaya memukau juri untuk meraih markah tinggi 94.4 mata, catatan yang tidak mampu disaingi mana-mana peserta lain.
Peserta Amerika Syarikat (AS), Marcus Christopher meraih pingat perak dengan markah 94.02 mata, manakala bekas juara Olimpik dari Australia, Logan Martin membawa pulang gangsa dengan 91.68 mata.
“Saingannya sangat luar biasa, ini kali pertama saya menjadi juara dunia, jadi saya sangat gembira. Saya benar-benar puas hati dengan cubaan kedua saya,” kata Jeanjean, yang sebelum ini meraih tempat ketiga pada temasya Olimpik Paris tahun lalu.
Sementara itu, dalam acara wanita, bintang AS, Hannah Roberts gagal meraih emas keenam berturut-turut apabila peserta China menyapu bersih podium — dengan Sun Sibei muncul juara selepas mengumpul 95.86 mata.
Rakan senegara, Sun Jiaqi menduduki tempat kedua dan Fan Xiaotong ketiga, manakala juara Olimpik, Deng Yawen tidak mengambil bahagian kali ini.
Hannah terjatuh dalam cubaan pertamanya dan sekadar menamatkan saingan di tempat ke-10.
© New Straits Times Press (M) Bhd




