Jeff Bezos belanja RM211 juta untuk majlis perkahwinan di Venice

Jeff Bezos belanja RM211 juta untuk majlis perkahwinan di Venice

Agensi

Milan: Golongan bangsawan dan individu berpengaruh berkumpul ke Venice, Itali, hujung minggu lalu untuk meraikan perkahwinan taikun Amazon, Jeff Bezos dan bekas wartawan penyiaran, Lauren Sanchez .

Portal CNBC melaporkan, majlis itu menyaksikan kehadiran kira-kira 200 selebriti dan usahawan. elit, termasuk anak perempuan Presiden Donald Trump, Ivanka Trump dan suaminya, Jared Kushner; Bill Gates, Oprah Winfrey, Leonardo DiCaprio, Usher dan keluarga Kardashians.

Bagaimanapun, butiran tepat majlis tiga hari yang menelan kos AS$50 juta (kira-kira RM211 juta) itu dirahsiakan di tengah-tengah protes di seluruh bandar.

Menurut portal The Guardian, pasangan itu berkahwin pada Jumaat lalu di pulau persendirian San Giorgio yang jauh daripada akses awam.

Sementara itu, majlis perkahwinan utama diadakan pada Sabtu di Arsenale, sebuah kompleks bersejarah yang dikelilingi oleh tembok berkubu di sebelah timur bandar.

Lokasi majlis perkahwinan itu ditukar pada saat akhir dan menggantikan lokasi asal iaitu bangunan abad ke-16 di tengah bandar kerana kebimbangan keselamatan.

Presiden kerajaan wilayah Veneto yang meliputi Venice, Luca Zaia, memberitahu pemberita pada Selasa bahawa perkahwinan dan acara sampingannya ditetapkan menelan belanja 40 juta (kira-kira RM198 juta) hingga 48 juta euro (kira-kira RM237.4 juta).

Bezos, salah seorang individu terkaya di dunia dengan anggaran aset bersih AS$230 bilion (kira-kira RM970.7 bilion) , menurut Forbes.

Ramai tetamu tiba lebih awal melalui jet peribadi, kapal layar super dan helikopter.

Menurut Reuters, lima daripada hotel paling mewah di Venice, termasuk Cipriani dan Aman ditempah untuk tempat penginapan tetamu majlis berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top