WASHINGTON: Satu lagi imej pelik ditemukan dalam arkib Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), dengan sesetengah pihak mendakwa ia mungkin menjadi bukti kewujudan kehidupan pintar yang bergerak di permukaan Marikh.
Imej itu dirakam kenderaan penjelajah Curiosity NASA sejak 14 tahun lalu. Ia menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada Marikh pernah mempunyai keadaan yang sesuai untuk menyokong kehidupan mikrob.
Kenderaan berkenaan merakam imej itu lebih setahun lalu, pada 19 Mei 2025.
Imej berkenaan memaparkan permukaan Marikh yang berdebu, dengan bukit berbatu dan banjaran gunung, sekitar pukul 2.40 pagi mengikut Waktu Sejagat Berkoordinat (UTC) di bumi.
Bagaimanapun, panorama itu turut memperlihatkan corak besar dan jelas pada permukaan tanah yang kelihatan seperti deretan kesan tayar.
Beberapa pengguna yang melihat imej NASA itu di media sosial berkata, kesan yang ditinggalkan kenderaan penjelajah itu sama sekali berbeza dengan corak yang kelihatan dalam imej tersebut pada tahun lalu.
Dakwaan kenderaan NASA itu mungkin merakam bukti kewujudan peranti mekanikal yang bergerak di Marikh semakin mencetuskan spekulasi. Ia mencetus spekulasi selepas satu lagi imej yang dirakam hanya dua minit kemudian menunjukkan corak sama permukaan tanah dari sudut berbeza.
Keadaan itu menunjukkan corak berkenaan bukan disebabkan gangguan kamera atau kesan pencahayaan.
Pada September 2025, NASA mengumumkan pertemuan tanda paling jelas setakat ini mengenai kewujudan kehidupan mikrob purba di Marikh menerusi sampel yang dikumpulkan kenderaan penjelajah Perseverance.
Walaupun penemuan bersejarah itu diumumkan, agensi angkasa berkenaan dan Rumah Putih kekal menegaskan tiada tanda kehidupan luar bumi yang pintar pernah ditemukan. – AGENSI

