NANNING – Media Malaysia termasuk Sinar Harian antara 34 wakil media dan pempengaruh antarabangsa yang menyertai program Guangxi in the Eyes of International Media 2026 bagi meninjau perkembangan Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu dan Terusan Pinglu di sini
Program selama enam hari yang dilancarkan pada Selasa itu menghimpunkan peserta daripada 26 organisasi media dari negara ASEAN, Korea Selatan, Hong Kong dan Macau.
Delegasi akan mengunjungi beberapa lokasi di Nanning dan Qinzhou termasuk Terusan Pinglu, projek teras koridor berkenaan yang dijangka memperkukuh hubungan perdagangan antara China dengan negara ASEAN termasuk Malaysia.
Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China (CPC) China News Service, Gu Haitao berkata, program itu bukan sekadar lawatan media, malah menjadi platform persahabatan dan pertukaran pengetahuan antara peserta.
“Berasaskan kerjasama jangka panjang inilah kita dapat berkumpul sekali lagi untuk memberikan tumpuan kepada Terusan Pinglu yang menjadi projek mercu tanda abad ini.
“Kami berharap peserta dapat menggunakan penulisan, lensa kamera dan platform digital untuk berkongsi kisah pembinaan Terusan Pinglu ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pemeriksa Tahap Dua Jabatan Publisiti Jawatankuasa CPC Guangxi, Huang Pinliang berkata, peserta akan menelusuri laluan Terusan Pinglu dari Pelabuhan Nanning hingga ke Pelabuhan Teluk Beibu.
“Peserta juga akan mengunjungi Jambatan Longmen dan pangkalan pendidikan sains marin bakau bagi melihat pembangunan berorientasikan laut serta pemuliharaan ekologi dilaksanakan secara harmoni,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Jawatankuasa CPC Guangxi Beibu Gulf International Port Group, Chen Dingsong berkata, program itu signifikan kerana berlangsung menjelang pembukaan Terusan Pinglu kepada pelayaran.
“Kerjasama dengan negara ASEAN bukan sahaja melibatkan pembangunan infrastruktur, malah merangkumi hubungan rakyat dengan rakyat.
“Usaha ini termasuk pertukaran budaya dan penerbitan dokumentari yang mengetengahkan persahabatan antara China dan Malaysia,” katanya.
Sebelum itu, selain Sinar Harian, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily turut menghantar wakil bagi menyertai program berkenaan, sekali gus mewakili penyertaan media dari Malaysia.