Jelajah SESERI, Program CSR Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah Suntik Inspirasi… Bakal Lahirkan Anak Seni Berpendidikan

Jelajah SESERI, Program CSR Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah Suntik Inspirasi… Bakal Lahirkan Anak Seni Berpendidikan

Program sosial korporat (CSR) kerjasama TV3, Tonton, DIDIKTV KPM dan rakan kongsi SAFI Shayla, menganjurkan Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai dunia seni sebenar, sekali gus membetulkan tanggapan kejayaan sebagai artis hanya bergantung kepada bakat semata-mata.

Pengurus Pemasaran Kandungan TV3 dan Tonton, Ali Iskandar Othman berkata, inisiatif itu juga memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara terus bersama artis.

Istimewanaya kali ini, pelajar Sekolah Menengah Sains Seri Puteri Kuala Lumpur (SESERI) diberi peluang memahami cabaran dan usaha yang perlu ditempuh untuk berjaya dalam industri hiburan.

“Objektif program ini adalah untuk membolehkan pelajar berinteraksi dengan artis dan faham apa sebenarnya yang diperlukan untuk bergelar anak seni.

“Bukan sekadar bakat, tetapi juga usaha dan disiplin. Kami tidak mahu pelajar tersalah anggap kononnya untuk berjaya, mereka perlu korbankan pelajaran.

“Sebaliknya, kami mahu mereka faham kedua-duanya boleh berjalan seiring,” katanya.


Menurutnya lagi, pemilihan tetamu jemputan dibuat berdasarkan bakat dan nilai inspirasi yang boleh diberi kepada pelajar.

“Kami pilih artis dan personaliti yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga mempunyai latar belakang yang mampu beri inspirasi. Contohnya kumpulan DUKES, mereka aktif dalam muzik tetapi masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Kami juga bawa penyampai berita, influencer, serta kumpulan muzik supaya pelajar dapat lihat pelbagai perspektif,” jelasnya.

Tambah Ali, program yang kini memasuki sekolah ketiga dan terakhir untuk tahun ini mendapat sambutan positif dan pihaknya berharap dapat meneruskannya pada tahun hadapan dengan sokongan penaja.

“Sambutan daripada pihak sekolah amat menggalakkan. Tahun ini kami hanya sempat pergi ke tiga sekolah, termasuk sekolah khusus untuk pelajar perempuan.

‘Jika ada penaja, seperti Safi Shayla yang menaja kali ini, kami terbuka untuk kembangkan program ini ke lebih banyak sekolah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pemilihan sekolah juga dibuat secara teliti dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan pihaknya mengutamakan sekolah yang tidak terlalu berprivilej bagi memastikan pendedahan ini dapat disampaikan secara lebih seimbang.

“Kami cuba elak hanya fokus kepada sekolah-sekolah elit. Sasaran kami adalah pelajar yang benar-benar boleh manfaatkan pendedahan ini,” ujarnya.

Rangkaian Televisyen Media Prima terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa generasi muda menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah, yang kali ini berlangsung meriah di Sekolah Menengah Sains Seri Puteri Kuala Lumpur (SESERI) petang ini.

Sekolah Menengah Sains Seri Puteri Kuala Lumpur hari ini ‘dibanjiri’ dengan aura glam, semangat muda dan tenaga positif apabila 344 murid dari Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 menyertai program interaktif yang penuh warna, keceriaan dan aktiviti bermanfaat dari jam 2:00 hingga 5.30 petang.

Kehadiran selebriti popular, pengacara TV dan pempengaruh media sosial seperti Hariz Hamdan, Apich Lo, Dukes, Syafiq Adnan, Amirulhakim Lokman, Risk Saidon, Aizat Saha dan Nisa Kay bukan sahaja memeriahkan acara, malah turut berkongsi perjalanan hidup, cabaran serta pengalaman berharga yang membuka minda dan menyuntik semangat kepada para murid.

Dengan kerjasama TV3, Tonton, DIDIKTV KPM dan rakan kongsi SAFI Shayla, Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah dianjurkan dengan matlamat untuk mencetus keyakinan diri, menyemai semangat positif dan memperkasakan murid-murid melalui pelbagai aktiviti menarik yang menggalakkan komunikasi, penerokaan bakat dan pembangunan diri.

Scroll to Top