Kaherah: Pengacara televisyen terkenal Mesir antara 12 individu yang dihukum mati kerana terbabit dalam pengeluaran dan pengedaran, lapor media rasmi pada Sabtu.
Pengacara itu, Sarah Khalifa, 39, dikenali menerusi rancangan Mission Impossible yang mengupas isu berkaitan keselamatan dan jenayah.
Akhbar berkaitan kerajaan, Al-Ahram melaporkan sebuah mahkamah di Kaherah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Khalifa dan 11 lagi tertuduh atas pertuduhan membentuk kumpulan jenayah terancang yang khusus dalam mendapatkan bahan untuk menghasilkan dadah dengan niat untuk mengedarkannya.
Mereka turut didakwa memiliki dan membawa senjata api serta peluru tanpa lesen. Keputusan itu dibuat selepas mahkamah merujuk kepada Mufti Besar Mesir bagi mendapatkan pandangan agama, prosedur yang diwajibkan undang-undang negara itu bagi kes yang membawa hukuman mati.
Bagaimanapun, keputusan berkenaan masih tertakluk kepada proses rayuan.
Khalifa turut memiliki sebuah klinik pembedahan kosmetik dan syarikat produksi yang mengkhusus kepada penganjuran majlis dan acara.
Menurut akhbar milik kerajaan, Akhbar el-Yom pula kesemua tertuduh didakwa menghasilkan dadah sintetik untuk tujuan pengedaran dengan mengimport bahan dari luar negara.
Al-Ahram melaporkan pihak berkuasa merampas lebih 750 kilogram dadah dan bahan mentah, selain menemukan dua pangsapuri yang digunakan sebagai makmal pemprosesan dadah, senjata api dan peluru tanpa lesen.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Khalifa dan beberapa tertuduh lain dalam kes berasingan membabitkan penculikan serta penganiayaan seorang pemuda.
Mesir mengenakan hukuman mati bagi kesalahan pembunuhan terancang, keganasan, beberapa kesalahan rogol dan pengedaran dadah.
Menurut Suruhanjaya Hak dan Kebebasan Mesir, sebanyak 541 hukuman mati dijatuhkan di negara itu sepanjang 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd

