Tehran: Jenazah Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada 28 Februari lalu, tiba di bandar suci Qom pada malam Isnin sebelum upacara pengebumiannya diteruskan di lokasi itu hari ini, lapor AFP
Ketibaan jenazah Khamenei bersama jenazah empat ahli keluarganya yang terbunuh dalam serangan sama itu beberapa jam selepas lautan manusia memenuhi jalan raya di Tehran bagi menyertai perarakan pengebumiannya di ibu negara.
Dalam pada itu, televisyen Iran melaporkan ‘jenazah pemimpin yang syahid sudah tiba di Qom’ sambil menyiarkan rakaman helikopter membawa jenazah Khamenei mendarat di bandar berkenaan.
Terdahulu, ketika upacara di Tehran pada Isnin lalu, imej AFP menunjukkan jutaan orang ramai menyertai perarakan kenderaan membawa jenazah Khamenei .
Acara itu disifatkan setanding dengan pengebumian besar pemimpin terdahulu, Ruhollah Khomeini pada 1989.
Namun, perarakan di Tehran pada Isnin iaitu hari ketiga daripada siri enam hari upacara pengebumian itu, masih tiada kelibat pengganti Khamenei yang juga anaknya, Mojtaba.
Ketika perarakan di Tehran, orang ramai yang berpakaian hitam melemparkan kelopak bunga ke atas keranda, termasuk keranda kecil cucu perempuan Khamenei yang baru berusia 14 bulan ketika terbunuh, menurut media negara.
Peserta turut membawa bendera merah darah yang menjadi simbol pembalasan dalam Islam Syiah selain slogan termasuk ‘Bunuh Trump’ dan gambar Mojtaba.
Sebuah lagi trak dalam perarakan itu dihiasi gambar pegawai tertinggi Iran dan sekutu Tehran yang terbunuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk ketua Pasukan Quds, Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan AS di Iraq pada 2020.
Dalam cuaca panas hampir mencecah 40 darjah Celsius, trak menyembur air kepada peserta perarakan sepanjang laluan kira-kira 20 kilometer (km) bagi menyejukkan mereka.
Ketua Majlis Keselamatan Nasional Tertinggi Iran, Mohammad Bagher Zolghadr berkata, kehadiran berjuta-juta orang dengan bendera merah dan slogan menuntut pertumpahan darah adalah mesej jelas daripada rakyat Iran kepada musuh mereka.
Selepas upacara di Qom, upacara pengebumian itu diteruskan pada Rabu di di Iraq, termasuk di Baghdad, Najaf dan Karbala, apabila jenazah akan disambut oleh tokoh agama dan pemimpin politik sebelum dibawa ke makam utama Syiah.
Upacara terakhir iaitu pengebumian dijadualkan berlangsung pada Khamis (9 Julai) di Makam Imam Ali Reza di bandar Mashhad, timur laut Iran, yang menjadi antara lokasi paling suci bagi penganut Syiah.
Khamenei ialah Pemimpin Agung Iran dari 1989 sehingga pembunuhannya pada usia 86 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




