Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan dakwaan bahawa kelewatan urusan pengebumian seorang jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang berpunca daripada pihak masjid seperti yang tular di media sosial.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kelewatan itu berlaku susulan kekeliruan waris yang pada peringkat awal menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS), yang tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pihak masjid.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa pihak masjid mengenakan bayaran RM1,400 bagi membolehkan urusan pengebumian dilakukan.
“Semakan JAIS mendapati jenazah berkenaan adalah ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan meninggal dunia pada 25 Jun 2026 pada jam 6.22 pagi.
“Hasil siasatan mendapati pada peringkat awal waris berurusan dengan BKS bagi tujuan pengebumian.
“Waris berhasrat untuk mengebumikan jenazah di tanah perkuburan di lokasi Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana yang terletak di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“Bapa kepada si mati hanya berjumpa dengan Pembantu Pengurus Masjid Nurul Hidayah pada jam 10.30 pagi untuk mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang diperlukan bagi membolehkan jenazah dikebumikan di lokasi itu.
“Beliau juga bersetuju pihak masjid yang mengambil alih daripada BKS untuk meneruskan urusan pengebumian jenazah,” katanya.


Menurut Mohd Shahzihan, pihak masjid mengeluarkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam pada jam 11.15 pagi selepas menerima Daftar Kematian yang asal.
Beliau berkata, pihak masjid turut dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras mahu urusan jenazah dikendalikan oleh BKS, menyebabkan pihak masjid mendapatkan bantuan polis bagi mengelakkan sebarang kekecohan.
“Pihak masjid juga dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras untuk jenazah diuruskan oleh BKS.
“Mengambil kira kemungkinan berlaku kekecohan di tempat pengurusan jenazah, pihak masjid meminta bantuan pihak polis untuk bersama ke tempat pengurusan jenazah.
“Ketika tiba di tempat pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka, pihak masjid dimaklumkan bahawa jenazah sudah dibawa ke tanah perkuburan Islam oleh BKS dalam keadaan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian si mati masih berada dalam pegangan pihak masjid,”jelas beliau.

Katanya, tindakan waris membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa kedua-dua dokumen yang sah menyebabkan urusan pengebumian tidak dapat disempurnakan sehingga pihak pengurusan tanah perkuburan menghubungi pihak masjid.
“Pihak masjid kemudiannya membawa dokumen yang sah ke tanah perkuburan untuk membolehkan pengebumian tersebut disempurnakan.
“Dalam masa sama, pihak masjid juga mendapati bahawa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan oleh waris kepada pengurusan kubur yang membolehkan keberadaan jenazah di liang lahad didapati palsu.
“Oleh itu, laporan polis sudah dibuat berkaitan pemalsuan dokumen terbabit, semalam (26 Jun),”ujarnya.
Sehubungan itu, JAIS menasihatkan masyarakat Islam supaya berurusan terus dengan pihak pengurusan masjid di kariah masing-masing bagi mengelakkan sebarang kelewatan dalam proses pengebumian.
“Pihak JAIS juga menegaskan pendirian bahawa pengurusan jenazah orang Islam hendaklah disegerakan dan tidak dilengahkan disebabkan kepentingan peribadi pihak tertentu,”tambah kenyataan itu.
Sumber: FB Jabatan Agama Islam Selangor – Rasmi




