Jenazah lima mangsa nahas helikopter diserah keluarga hari ini

PUTRAJAYA: Jenazah lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di LongLellang, Sarawak, akan diserahkan kepada keluarga masing-masing di Jabatan Forensik Hospital Miri, pagi ini, selepas identiti semua mangsa disahkan melalui analisis DNA.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengesahan rasmi identiti melalui analisa DNA dilakukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia.

Katanya, susulan itu penyerahan jenazah wira dan wirawati negara kepada keluarga akan dilaksanakan di Jabatan Forensik Hospital Miri hari ini dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyelaraskan pergerakan jenazah ke persemadian masing-masing.

“Jenazah Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin (Pegawai Perubatan) akan diterbangkan dari Miri ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa.

“Jenazah mendiang Debra Moset (jururawat) akan diterbangkan dari Miri ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan pada esok.

“Jenazah mendiang Alexson Adit Henry (Penolong Pegawai Perubatan) akan dipindahkan dari Hospital Miri ke rumahnya hari ini, manakala urusan pengebumian akan dibuat pada Selasa, di Anglican Cemetery Lambir, Miri, Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jenazah mendiang Jessie Paya Jok (jururawat) akan dipindahkan daripada Hospital Miri ke rumah mendiang pada hari ini, manakala urusan pengebumian akan dibuat pada esok di BEM Cemetery Lambir, Miri.

“Jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham (juruterbang) akan diterbangkan dari Miri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dengan penerbangan Malaysia Airlines untuk dikebumikan di Taman Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, KKM amat berterima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan kemudahan logistik TUDM bagi melancarkan urusan penghantaran pulang jenazah ke Semenanjung Malaysia.

“Penghargaan turut diberikan kepada PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), pengurusan Hospital Miri, serta seluruh agensi yang bertungkus-lumus tanpa penat lelah dari fasa mencari dan menyelamat (SAR) sehinggalah ke fasa pengurusan jenazah,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan akses kesihatan rakyat pedalaman tidak terjejas, KKM terus memperkukuh kerjasama strategik bersama JBPM bagi menyokong kelancaran operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC).

Ini susulan penangguhan sementara perkhidmatan FDS untuk siasatan, semakan dan penilaian menyeluruh. – UTUSAN

Scroll to Top