Jenazah Rennie dibawa pulang esok

Jenazah Rennie dibawa pulang esok

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: “Jenazah abang long saya kini berada di Hospital Bayankara Mataram selepas berjaya dibawa keluar dari laluan Torean, Gunung Rinjani malam tadi. Dia akan dibawa pulang ke tanah air esok sebelum dikebumikan di Johor Bahru.”

Demikian kata wanita ingin dikenali Yana, adik kepada pendaki Malaysia, Rennie Abdul Ghani, 57, yang dilaporkan terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat.

Menurutnya, jenazah abangnya selamat dibawa keluar dari kawasan terbabit pada jam 8.30 malam (waktu Malaysia) dan tiba ke hospital terbabit jam 11 malam tadi.

“Selepas semua urusan selesai, jenazah akan diterbangkan pulang ke Malaysia esok sebelum dibawa ke Johor Bahru untuk dikebumikan.

“Terima kasih kepada semua yang terbabit dalam tragedi ini. Kami sekeluarga juga memohon maaf atas semua kesulitan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu Yana dilaporkan berkata, Allahyarham seorang abang yang sangat mengambil berat mengenai adik-beradik, tegas namun suka membuat lawak, sukakan cabaran dan seorang perancang yang bagus selain sangat menepati janji dan waktu.

Media sebelum ini melaporkan seorang pendaki warga Malaysia dilaporkan terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani sekitar 12 tengah hari waktu tempatan, menurut pihak berkuasa taman negara.

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan pelbagai agensi membabitkan puluhan anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian Dan Pertolongan (SAR) Lombok Timur.

Pihak taman negara menjelaskan mangsa dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip oleh seorang juru pandu dari agensi pendakian, Juan Adventure Rinjani.

Mangsa memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang pendaki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top