CHIBA, Jepun: Pengendali pasukan Jepun, Hajime Moriyasu menjulang anak buahnya selepas kenduri gol membelasah Mongolia, 14-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia di sini, hari ini – kemenangan terbesar skuad itu dalam kempen berkenaan setakat ini.
Jepun yang dilihat berpeluang cerah untuk layak ke Piala Dunia buat kali ketujuh berturut-turut di Qatar pada tahun depan, menjaringkan lima gol separuh masa pertama dan menguasai sepenuhnya perlawanan itu.
Bagaimanapun skuad Samurai Biru enggan mengendurkan tekanan dan sebaliknya menambah sembilan lagi jaringan selepas rehat untuk mencatat satu rekod baharu pada aksi kelayakan, kurang satu gol berbanding rekod terbesar dalam semua kejohanan sebelum ini.
“Anda boleh lihat sendiri pada jumlah jaringan yang jelas membezakan tahap kedua-dua pasukan. Tapi ia bukan kerana lawan kami, sebaliknya ia berkenaan bagaimana kami semua memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan ini,” kata Moriyasu.
Setakat ini Jepun sudah memenangi semua lima aksi kelayakan dengan menjaringkan 26 gol dan bolos satu.
“Kami melakukan persiapan rapi dan terus menekan diri kami untuk menang,” katanya.
Jepun tidak beraksi pada kelayakan Piala Dunia sejak November 2019 akibat pandemik COVID-19.
– AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




