Nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Serian dan Kuching merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) tertinggi dengan bacaan IPU melebihi 400.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati enam lokasi di Sarawak merekodkan IPU pada tahap bahaya sehingga jam 7 pagi tadi.
Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 411 diikuti Kuching (407), Samarahan (370), Sri Aman (358), Sarikei (330) dan Sibu (304).
Sementara itu, tiga lagi lokasi di Sarawak iaitu Mukah (232), Bintulu (226) dan Samalaju (221) merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat.
Empat lagi lokasi di Sarawak iaitu ILP Miri (186), Miri (179), Kapit (177) dan Limbang (166) merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
Selain itu, empat lagi lokasi yang turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat adalah Labuan (166), Kimanis (155), Keningau (155) dan Tawau (134).
Sebelum ini, media melaporkan operasi pembenihan awan sedang dilaksanakan di kawasan dilanda jerebu terutama yang merekodkan bacaan IPU melebihi 150 selain kawasan empangan yang menunjukkan penyusutan paras air.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, operasi itu dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




