Momentum positif mudahkan Empty Page

puterialia@hmetro.com.my

LANDSKAP muzik indie tanah air kini berdepan era lebih segar apabila pendengar khususnya golongan muda semakin terbuka menerima kemunculan pelbagai kumpulan baharu berbanding sedekad lalu.

Ahli kumpulan indie Empty Page, Alif (dram) dan Zic (vokalis) melihat perkembangan positif itu sebagai peluang keemasan untuk industri seni menembusi pasaran lebih luas.

Menurut Alif, penerimaan peminat hari ini jauh lebih rencam dan dinamik apabila golongan muda lebih teruja mendengar kemunculan band alternatif yang mengetengahkan naskhah serba baharu.

“Sebenarnya, saya setuju sebab sekarang banyak orang muda yang terbuka untuk mendengar, ‘Oh ini ada band baharu’. Benda ini sesuatu yang baharu berbanding 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui RAP, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zac mendedahkan momentum positif itu memudahkan usaha mereka untuk meluaskan pengaruh muzik kepada khalayak yang kini jauh lebih terbuka terhadap apa jua genre dan karya yang ada di pasaran.

Bagaimanapun, bagi sebuah kumpulan muzik, Zac menegaskan aspek konsistensi dalam melancarkan karya baharu serta kekal aktif di dalam industri seni adalah kunci utama agar sentiasa relevan dan diingati peminat.

Fenomena muzik indie yang semakin menambat hati arus perdana dilihat semakin berpaksikan faktor media sosial yang memberi kebebasan kepada penggiat seni untuk bergerak tanpa bergantung sepenuhnya kepada syarikat rakaman besar.

Menurut Alif, dia menyifatkan situasi berkenaan sebagai peluang keemasan terbaik buat kumpulan ‘independent’ untuk mendominasi perhatian peminat muzik tempatan.

“Ia kesan daripada media sosial apabila sesebuah kumpulan muzik tidak lagi terlalu memerlukan syarikat besar atau label untuk membantu. Jadi, ini adalah peluang yang baik untuk kumpulan indie zaman sekarang.

“Sebab itu orang lebih mencari kumpulan ‘independent’. Saya rasa sebab aspek jujur itu. Kerana untuk kumpulan indie seperti kami, semua lagu kami buat sendiri, semua penulisan sendiri dan semuanya kena jujur. Saya fikir itu yang dapat ‘relate’ dengan pendengar yang lebih muda,” katanya.

Sementara itu, daripada sudut pengurusan kumpulan, Zac turut berkongsi bahawa segala perbelanjaan dan bajet kumpulan diusahakan mereka sepenuhnya.

Namun, mereka melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana sentiasa dikelilingi peminat yang tidak pernah jemu memberikan sokongan padu.

“Bajet itu memang kami keluar sendiri dan kami agak bersyukur kerana kebanyakan peminat sangat menyokong kami. Setiap persembahan tidak kisah di mana diadakan, mereka akan datang.

“Kalau kami keluarkan apa jua album atau ‘merchandise’, mereka akan beli. Kami tidak tahu nak cakap macam mana, cuma boleh ucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong kami,” kongsinya.

Dalam pada itu, menyifatkan landskap seni tempatan kini berada pada tahap terbaik, Alif berpendapat perkembangan industri muzik masa kini jauh lebih terbuka dan tidak lagi tertumpu secara eksklusif kepada artis naungan syarikat rakaman sahaja.

Menurut Alif, keputusan mereka untuk memberikan fokus 100 peratus terhadap arena muzik berbaloi apabila trend pendengar kini beralih kepada pencarian muzik secara langsung.

Melihat kepada senario semasa itu, Alif merumuskan era ini adalah detik yang paling tepat dan subur buat mana-mana kumpulan muzik untuk bergerak aktif mengetengahkan karya mereka.

Biarpun memulakan langkah awal dengan mempertaruhkan lagu berbahasa Inggeris, kumpulan indie rock ini mendedahkan karya mereka kini lebih didominasi lagu berbahasa Melayu atas faktor strategi pasaran.

Mengulas lanjut mengenai keputusan beralih arah kepada bahasa ibunda, Zac mendedahkan langkah itu diambil bagi memudahkan karya mereka menembusi pasaran demi kelangsungan jangka panjang.

“Sebab kami mula dengan lagu bahasa Inggeris. Tetapi bila kami mula buat lagu dalam bahasa Melayu, kami baru sedar senang sikit karya kami nak menembusi pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, peralihan itu lama-kelamaan mencetuskan kepuasan tersendiri buat mereka sebagai penulis lagu apabila Zic merumuskan bahawa keindahan bahasa Melayu menawarkan nilai estetika yang jauh lebih mendalam, jujur serta menyentuh emosi.

“Tetapi bila dah lama sikit, sebagai penulis saya sedar yang menggunakan perkataan bahasa Melayu dia lagi sakit dan rasa dia lagi ‘real’.

“Rasa ‘connection’ itu satu hal dan kata-katanya sangat puitis. Jadi, saya lebih menikmati penulisan yang terasa lebih tulen,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top