PUTRAJAYA: Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2026 pukul 9.30 malam akan dipindahkan dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) susulan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.
Keputusan tersebut dibuat sebagai langkah penyesuaian mengambil kira perkembangan semasa, khususnya bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan keselesaan tetamu serta orang ramai, di samping menjamin kelancaran pelaksanaan majlis.
Menurut Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaaan Dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Kementerian Komunikasi, pemindahan lokasi ini tidak menjejaskan pengisian dan semangat sambutan Hari Kebangsaan 2026.
“Ia sebaliknya merupakan langkah bertanggungjawab bagi memastikan majlis dapat dilaksanakan dalam persekitaran yang lebih terkawal dan selesa.
“Kerajaan akan terus memantau keadaan jerebu dan perkembangan kualiti udara dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, keputusan berkaitan pelaksanaan acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan ditentukan berdasarkan penilaian keadaan semasa.
Katanya, penilaian turut dibuat berdasarkan nasihat dan pandangan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap situasi terkini keadaan jerebu serta mendapatkan maklumat dan nasihat kesihatan melalui saluran rasmi KKM,” katanya. – UTUSAN

