Jerebu 'melarat' ke Pantai Timur, 19 stesen catat IPU tidak sihat

Jerebu 'melarat' ke Pantai Timur, 19 stesen catat IPU tidak sihat

nurul_husna@mediaprina.com.my

​Kuala Lumpur: Sebanyak 19 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap Tidak Sihat setakat jam 9 malam ini.

​Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) daerah Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 172, diikuti Larkin (171) dan Kota Tinggi (166).

​Turut mencatatkan trend kualiti udara tidak sihat di Johor ialah Pengerang (159), Tangkak (157), Kluang (156), Segamat (155) dan Batu Pahat (155).

​Di Pantai Timur, beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang turut terjejas teruk.

Kuala Terengganu mencatatkan bacaan IPU 165, Kemaman (160) dan Paka (157), manakala di Pahang membabitkan Balok Baru Kuantan (158), Rompin (156) serta Indera Mahkota (129).

​ Kawasan di Pantai Barat juga menunjukkan kemerosotan kualiti udara merangkumi Seremban (152) dan Nilai (106) di Negeri Sembilan; Bukit Rambai (114) dan Bandaraya Melaka (113) di Melaka; serta Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mencatatkan bacaan IPU 109.

​Sehingga kini, daripada 68 stesen pemantauan yang beroperasi di seluruh negara, sebanyak 42 stesen merekodkan kualiti udara pada tahap Sederhana, manakala enam stesen lagi berada pada tahap Baik. Tiada stesen yang mencatatkan kualiti udara pada tahap Sangat Tidak Sihat atau Berbahaya setakat ini.

​Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai Baik, 51 hingga 100 (Sederhana), 101 hingga 200 (Tidak Sihat), 201 hingga 300 (Sangat Tidak Sihat) dan 300 ke atas (Berbahaya).

​Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga tua dan individu yang mempunyai penyakit respiratori, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah dan memakai pelitup muka sekiranya perlu berada di kawasan terbuka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top