Jerebu rentas sempadan, kerajaan pertimbang tuntut ganti rugi!

Jerebu rentas sempadan, kerajaan pertimbang tuntut ganti rugi!

Kerajaan terbuka mempertimbangkan penggunaan mekanisme perundangan antarabangsa bagi membolehkan tuntutan pampasan dan ganti rugi susulan pencemaran jerebu rentas sempadan yang menjejaskan rakyat Malaysia.

Kerajaan teliti mekanisme undang-undang antarabangsa

Memetik laporan daripada Harian Metro, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menyatakan, langkah itu boleh diteliti memandangkan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan tidak mempunyai peruntukan khusus berkaitan tuntutan pampasan antara negara.

“Bagaimanapun, kerajaan terbuka untuk meneliti kesesuaian mekanisme perundangan lain yang tertakluk kepada asas undang-undang di peringkat antarabangsa.
“Dalam aspek ini, kajian menyeluruh terhadap kerugian ekonomi akibat jerebu termasuk kesannya terhadap kesihatan awam, produktiviti dan aktiviti ekonomi adalah penting sebagai asas bagi pertimbangan dasar serta tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mencadangkan Malaysia bekerjasama dengan Singapura, Filipina dan Indonesia untuk menubuhkan petugas khas ASEAN secara tetap bagi menangani kebakaran hutan dan lahan.

Foto: Berita Harian

Bantuan kepada rakyat terjejas turut diteliti

Arthur berkata, cadangan bantuan kewangan kepada rakyat terjejas, khususnya pekerja gig, serta penubuhan tabung bencana jerebu memerlukan penelitian lanjut bersama kementerian dan agensi berkaitan.

Menurutnya, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama penguatkuasaan menerusi saluran dua hala dan ASEAN.

“Pendirian kerajaan adalah jelas, mana-mana pihak yang terbukti menyebabkan pencemaran dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
“Pada masa sama, kerajaan terus meneliti mekanisme bersesuaian untuk memperkukuh prinsip kebertanggungjawaban pencemar dan melindungi kepentingan rakyat terjejas,” katanya.

Mengulas dakwaan syarikat Malaysia terlibat dalam pembakaran hutan di Indonesia, Arthur berkata, setakat ini tiada bukti kukuh yang mengesahkan perkara berkenaan.

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) meneliti perkara berkenaan.
“Berdasarkan penelitian setakat ini, belum ada bukti kukuh yang mengesahkan pembabitan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang menyebabkan kebakaran berkenaan,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro (Mukhriz Mat Husin)

Scroll to Top