am@hmetro.com.my
Port Dickson: Jeritan jiran yang melaungkan ‘api’ menyelamatkan enam beranak daripada menjadi mangsa kebakaran rumah dalam kejadian di Kampung Bagan Pinang di sini pada awal pagi tadi.
Kejadian berlaku jam 2.30 pagi dan api marak dengan cepat dalam tempoh lima minit menyebabkan mereka mereka tidak sempat menyelamatkan barangan dan dokumen penting termasuk buku sekolah anak.
Menceritakan kembali detik cemas itu, mangsa yang juga guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Norasikin Mohamad Yusof, 46, berkata, dia bersyukur walaupun tinggal hanya sehelai sepinggang ia tidak membabitkan kemalangan jiwa.
“Ketika itu apa yang saya fikir sarung sahaja telekung sebab mudah lalu menggerakkan anak untuk segera keluar.
“Dalam masa sama kami cuba padamkan api tetapi api terlalu besar dan keselamatan anak-anak lebih penting,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Suaminya, Noor Aiza Baharuddin, 53, bekas imam Masjid Bagan Pinang berkata, semasa kejadian isteri dan empat anaknya yang berusia sembilan hingga 15 tahun sedang nyenyak tidur.
“Saya baru sahaja hendak tidur tetapi dengar jiran jerit api dan segera tengok luar rumah serta nampak api mulai marak dekat garaj kereta.
“Saya segera kejutkan isteri dan anak-anak sebelum mengeluarkan kereta Toyota Avanza yang berada berhampiran.
“Namun sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios tidak sempat di selamatkan termasuk dua motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Wave susulan api marak terlalu cepat,” katanya yang kini tinggal sementara di kediaman abangnya di kampung sama.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Kamal Mohd Timar berkata pihaknya sampai ke lokasi tujuh minit kemudian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Rumah mereka hangus dengan kemusnahan lebih 80 peratus termasuk kereta dan dua motosikal.
“Seramai 22 anggota termasuk pegawai terbabit dalam kerja pemadaman selepas pada jam 4.20 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujar beliau.
© New Straits Times Press (M) Bhd