Jerman haramkan tiga kumpulan rapat dengan Hizbullah

Jerman haramkan tiga kumpulan rapat dengan Hizbullah

BERLIN: Kerajaan Jerman hari ini mengharamkan tiga kumpulan yang rapat dengan Hizbullah, gerakan Lubnan yang menentang Israel, ketika peningkatan ketenteraan berlaku di Asia Barat.

Menteri Dalam Negeri, Horst Seehofer, mengharamkan tiga kumpulan yang membiayai organisasi Hizbullah, kata jurucakapnya melalui ciapan.

“Siapa saja yang menyokong keganasan tidak akan selamat di Jerman… Mereka tidak akan mendapat perlindungan di negara kita”.

Kementerian Dalam Negeri berkata, pencarian sedang dilakukan di sejumlah wilayah negeri berlainan di Jerman.

Menurut laporan media Jerman, operasi itu dilakukan di Hamburg, Bremen, Hesse, Lower Saxony, Rhine-Westphalia Utara dan Schleswig-Holstein.

Hizbullah dinamakan sebagai kumpulan pengganas oleh Israel dan sebahagian besar di Barat.

Ditubuhkan pada 1980-an untuk memerangi pendudukan Israel di selatan Lubnan, ia berkembang menjadi proksi wilayah utama Iran dengan operasi di Syria, Iraq dan Yaman.

Hizbullah adalah satu-satunya puak Lubnan yang menyimpan senjata selepas perang saudara 1975-90, yang kini memiliki senjata yang lebih berkuasa berbanding tentera nasional Lubnan.

Serangan maut Israel di Gaza mendapat perhatian di sempadan Lubnan bagi reaksi Hizbullah, namun pemerhati berpendapat gerakan yang disokong Iran itu tidak mungkin mempertaruhkan konflik habis-habisan.

Insiden di sempadan sejak beberapa hari lalu memanaskan lagi situasi, namun dengan keadaan Lubnan yang sudah pun lemah dalam krisis politik dan ekonomi, kumpulan Syiah itu seolah-seolah menahan diri daripada meningkatkan ketegangan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top