Jersi baharu Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya meraih semangat baharu selepas pengeluar jenama sukan terkenal dunia, Nike Malaysia melancarkan jersi baharu pada hari semalam.

Ia sekaligus menjadikan pasukan negara bakal tampil lebih bergaya untuk mengharungi kempen Kelayakan Piala dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac dan Piala AFF pada April 2021 nanti.

Pengenalan jersi baharu itu turut menyaksikan buat kali pertamanya sejak 2007, jersi utama atau jersi ‘home’ tampil dengan reka bentuk berkolar.

Jersi kedua atau jersi ‘away’ Malaysia 2020-2022 turut memperagakan kelainan apabila buat kali pertamanya tiada warna biru, putih atau merah seperti kebiasaan.

Majlis pelancaran berlangsung secara maya menerusi video pengenalan jersi berkenaan yang disiarkan serentak di kesemua platform media sosial rasmi FAM.

Sebagai simbolik pelancaran jersi baharu ini, Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin menjadi individu pertama yang menerima kedua-dua jersi ‘home’ dan jersi ‘away’ Malaysia 2020-2022 daripada Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues di Wisma FAM, Kelana Jaya pagi semalam.

Tanpa sebarang aksi sepanjang tahun 2020, skuad kebangsaan yang terbaru berada di kedudukan 153 dunia dalam kemas kini terbaharu ranking FIFA akan kembali meneruskan saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertunda sebelum ini pada Mac 2021 serta saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang ditangguh ke April dan Mei 2021.

Untuk makluman, jersi baharu pasukan kebangsaan Malaysia 2020-2022 itu sudah boleh didapati mulai semalam di outlet Nike terpilih serta secara dalam talian di www.nike.com/my dan www.al-ikhsan.com

Manakala penjualan secara fizikal di 24 outlet terpilih Al-Ikhsan Sports dan semua outlet Football Republic di seluruh negara pula akan bermula pada 11 Disember ini dengan jersi ‘home’ dan ‘away’ masing-masing dijual pada harga RM299.

Sumber: Sinar Harian

Akmal Hakim
Sports Desk