PKPB dilanjutkan di beberapa negeri

Kuala Lumpur: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah dilanjutkan 14 hari lagi mulai 7 hingga 20 Disember ini.

Beliau menerangkan, di Selangor PKPB dilanjutkan kecuali di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor dimana PKPB ditamatkan tetapi masih di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Jelasnya PKPB di Putrajaya, Perak, Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pula akan berakhir tengah malam esok (6 Dis), di mana kawasan terbabit akan kembali kepada PKPP kecuali beberapa daerah dan mukim yang dikategorikan kawasan berisiko di beberapa negeri masih diletakkan di bawah PKPB dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Keputusan dibuat selepas kes jangkitan di negeri dan daerah itu menunjukkan pengurangan sejak PKPB dilaksanakan, berdasarkan penilaian risiko jangkitan,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, PKPB ditamatkan di Pulau Pinang kecuali di mukim 12 Barat Daya dan mukim 13 Timur Laut manakala PKPD dilaksanakan di flat Jalan Paya Terubung di Relau dan flat di Desa Lestari Batu Uban.

Tambahnya lagi, di Perak PKPB ditamatkan kecuali di daerah Kinta, mukim Teja dan mukim Changkat Jong di Perak, dan PKPD ditamatkan di Zon B dan C Taman meru bermula hari ini (5 Dis) manakala PKPD dilaksanakan di depot tahanan imigresen Langkap beserta kuartes daerah di Hilir Perak berkuatkuasa 6 Disember hingga 19 Disember.

Lapornya lagi, PKPB ditamatkan di Kelantan kecuali di daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas manakala di Negeri Sembilan PKPB ditamatkan kecuali di daerah Seremban dan Port Dickson dan di Johor PKPB ditamatkan kecuali di daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kulai.

Ulasnya lagi, PKPB dilanjutkan bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan dan untuk penyaringan bersasar dijalankan secara berperingkat.

Malay News
Farah Fauzi