Maut hanyut banjir ketika pulang dari kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Pasir Puteh: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas pulang dari kerja ditemui meninggal dunia dalam banjir di Kampung Kampung Tasek, Gong Kala dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal dipercayai mangsa melintasi kawasan banjir untuk pulang ke rumah namun lemas di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis dan disahkan meninggal dunia dan kami masih meneruskan siasatan,” katanya.
Manakala, seorang saksi yang menemui mayat mangsa, Tengku Mohd Harith Tengku Azis, 39, berkata, ketika jam 4.15 petang itu, dia melakukan rondaan banjir di kawasan berkenaan selepas membantu pasukan keselamatan memindahkan mangsa banjir di situ.
Ketika tiba di situ, dia terlihat topi keledar terapung di kawasan banjir dan seorang lelaki berusia 20-an cuba mengambil topi keledar berkenaan.
“Dia kata topi keledar itu berat untuk diangkat, jadi saya cuba membantunya dan ternampak bahagian motosikal.
“Apabila motosikal diangkat, muncul mayat dengan masih memakai topi keledar itu dalam keadaan keadaan tertiarap,” katanya.
Tengku Harith yang juga Pengerusi Amalteam Kelantan berkata, dia yang terkejut dengan penemuan itu menghubungi Balai Polis Bukit Yong.
Menurutnya, mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Fahmie Abdullah@Mahmud, 33, dari Kampung Gong Depu, Pasir Puteh.
Katanya, hasil pertemuan dengan keluarga mangsa, mereka memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah sejak malam kelmarin.
“Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) saya turut membantu menguruskan jenazah arwah secara percuma yang mana bantuan ini sebahagian program amal kami,” katanya.

ZA137 Malay News
National Desk