Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) Huga yang membawa penyanyi Zizi Kirana dilaporkan dipintas serta dinaiki secara paksa oleh tentera Israel ketika berlayar di perairan antarabangsa dalam perjalanan ke Gaza, Palestin.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan rasmi di akaun media sosial Sumud Nusantara sebentar tadi.
Turut dikongsi ialah rakaman video yang sempat dibuat Zizi sebelum pelayaran, dengan mesej bahawa sekiranya rakaman itu disiarkan bermakna dirinya telah diculik tentera Israel.
“Nama saya Zizi Kirana, rakyat Malaysia. Jika video ini ditonton sekarang, itu bererti saya telah ditahan secara paksa oleh tentera Israel.
“Misi kemanusiaan kami adalah misi aman, tanpa sebarang keganasan dan sepenuhnya mematuhi undang-undang antarabangsa,” ujar Zizi dalam rakaman tersebut.
Dalam pada itu, Zizi merayu agar kerajaan Malaysia campur tangan dan menuntut jaminan keselamatan semua individu yang berada di atas kapal serta mendesak pembebasan mereka tanpa sebarang syarat.
“Saya merayu kepada kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat,” katanya.
Sehingga jam 6 pagi tadi, laporan menyebut lapan peserta GSF dari Malaysia telah ditahan oleh tentera Israel.




