SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan agama bukan perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka susulan kontroversi membabitkan ucapan wakil parti itu yang menyentuh paderi dan biarawati pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.
Beliau berkata, perkara tersebut merupakan isu sensitif yang pasti akan mengundang kemarahan sekiranya perkara sama turut melibatkan imam dan umat Islam.
“Bayangkan jika lawak paderi yang diungkapkan ini digantikan dengan imam dan orang Islam, maka pastinya kita juga akan marah.
“Jika kita marah bila diperlakukan sebegitu, maka kita tidak seharusnya buat pada orang yang lain juga,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Kontroversi tercetus apabila Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang juga jurucakap UMNO Selangor menceritakan jenaka yang menggunakan watak seorang paderi dan biarawati serta penggunaan surah Mazmur dalam Bible.
Muhamad Akmal mendesak individu terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, jenaka yang dikeluarkan itu sama sekali tidak menggambarkan pendirian UMNO, sebaliknya ia merupakan pandangan peribadi invidu tersebut.
“Permohonan maaf wajib dilakukan!” tegasnya.
