'Jika tidak mencuba bagaimana nak tahu hasilnya'

'Jika tidak mencuba bagaimana nak tahu hasilnya'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

DI kala banyak konsert dianjurkan di Kuala Lumpur, kumpulan Umbrella yang popular dengan lagu Ramalan Ku Benar Belaka dan Bukalah Hatimu mendapat tawaran menghiburkan penonton di Utara tanah air.

Umbrella dibarisi Zarul Husin sebagai vokalis, Saiful (dram), Hafizz (gitar), Rizal (bass) dan Isnin (keyboard) akan mengadakan konsert mereka di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah pada 6 Jun depan. Dikenali Konsert Seribu Rahmat Umbrella, ia adalah anjuran Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis (PBPRP) dan turut mengundang dua penyanyi jemputan iaitu Zamani dan kumpulan Floor 88.

Zarul berkata, selama tiga dekad berkecimpung dalam industri muzik tanah air, kumpulan Umbrella masih aktif menerima undangan persembahan nyanyian tetapi untuk terbabit konsert solo berskala besar sebegini, baru pertama kali.

“Apapun, pada awalnya agak berat juga untuk kami (Umbrella) terima tawaran konsert ini kerana bimbang mengenai sambutan penonton. Apatah lagi, perlu membeli tiket dan sejauh mana Umbrella masih dikenali.

“Kami takut sekiranya sambutan diberi pada penjualan tiket tidak seperti diharapkan. Selain memikirkan juga, risiko kerugian yang mungkin akan terpaksa ditanggung oleh penganjur.

“Sejujurnya, Umbrella memang tidak pernah ada tawaran untuk menjayakan konsert kepada kami sebelum ini. Jadi, sudah tentulah kita sedar bukan hanya peminat setia, namun kena ambil kira juga tarikan pendengar generasi baharu.

“Ditambah lagi, Umbrella pun hanya dikenali dengan beberapa lagu popular sahaja. Oleh itu, kami memang tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk mempunyai konsert sendiri walaupun impian mesti ada,” katanya.

Ujar Zarul atau nama sebenar Zairulkefli Husin lagi, bagaimanapun kalau peluang dan rezeki sudah datang buat Umbrella, macam mana pula hendak ditolak begitu sahaja kerana mesti ada kepercayaan dan keyakinan pihak lain.

“Jadi, apabila peluang ini datang tanpa diduga termasuk dengan adanya bantuan dana yang diperoleh, maka sedikit sebanyak amat membantu penganjur. Justeru, kami (Umbrella) mula terbuka fikiran untuk mencuba.

“Biarpun pada masa sama, masih ada rasa takut dan bimbang yang bercampur-baur terutama jika penganjur berdepan kerugian, tetapi lebih baik berani mencuba dulu. Sampai bila nak risau dengan bayang-bayang.

“Kalau tidak cuba, mana kami nak tahu hasilnya nanti. Apatah lagi, kami pun tahu bagaimana keadaan peminat Umbrella. Oleh itu, kami sangat berharap sokongan semua pihak membantu promosikan konsert ini kepada peminat Umbrella,” jelasnya.

Terdahulu, berlangsung sidang media Konsert Seribu Rahmat Umbrella di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini yang turut disertai Pengerusi PBPRP, M Nordin Abd Majid serta Pengarah Produksi Kreatif UUM juga pensyarah dan komposer, Dr Mohd Azhar Abu Bakar atau Azmeer.

Konsert dijangka berlangsung lebih dua jam dengan memuatkan lebih 20 lagu berserta harga tiket berpatutan iaitu RM50, RM100 dan RM150 yang sudah mula dijual sejak 12 April lalu.

Mensasarkan kehadiran seramai 4,000 penonton mengikut kesesuaian kapasiti maksimum dewan.

Berbicara lanjut, Zarul berkata apa yang pasti sekarang tiba masa untuk Umbrella memanfaatkan peluang tampil dengan konsert solo berskala besar pertama seiring usia dan pengalaman bermain muzik sejak 30 tahun lalu.

“Walaupun semasa terima tawaran konsert ini, saya sendiri tertanya-tanya adakah betul orang mahu anjurkan konsert buat Umbrella?, tetapi ini rezeki yang Allah sudah tetapkan.

“Lagi pula, selepas melihat kumpulan seperti Elite diberikan peluang muncul dengan konsert, mungkin Umbrella juga masih ada ruang itu. Jadi, tenang dan ambil positif bahawa takdir yang menentukan segala,” katanya.

Sekalipun ada perasaan Umbrella sangat ‘kerdil’ berbanding kumpulan muzik era 1990-an yang lain untuk ada konsert solo, tetapi sekali lagi harus difahami bahawa rezeki daripada Tuhan itu tidak diduga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top