Serlah kematangan berbeza

Serlah kematangan berbeza

FILEM: Nar’sata: Sekutu Setan

PENGARAH: Pierre Andre

PENULIS: Pierre Andre

PELAKON: Trisha Ooi, Mawar Rashid, Khatijah Tan, Nam Ron, Aniq Suhair, Khenobu, Fadlan Hazim, Dai Fuad, Imranul Effendy, Wan Hanafi Su, Vanida Imran, Ashraf Muslim, Aisha Andre

TAYANGAN: 21 Mei 2026

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Pengarah, Pierre Andre nampaknya kembali dengan taring yang lebih tajam menerusi buah tangan terbaharunya, Nar’sata: Sekutu Setan.

Selepas muncul dengan Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu dan Dajal: Satu Malam Dipedajal, naskhah kali ini memperlihatkan sisi kematangan Pierre yang cukup berbeza.

Pierre dilihat melakukan transformasi drastik atau ‘all out’ dalam memastikan filem ini tidak sekadar menjadi sebuah lagi filem seram klise yang memenuhi lambakan pasaran tempatan.

Secara jujurnya, Nar’sata: Sekutu Setan adalah sebuah cubaan berani untuk memenangi hati penonton generasi sekarang yang dahagakan jalan cerita yang pantas.

Jika dibandingkan dengan karya terdahulunya, filem ini mempunyai ‘pace’ atau rentak penceritaan yang jauh lebih laju dan tidak meleret-leret.

Pierre nampaknya sudah mula memahami psikologi penonton hari ini yang cepat bosan dengan babak yang terlalu panjang tanpa tujuan yang jelas.

Namun, dalam keghairahan mengejar kepantasan itu, terdapat beberapa babak yang pada pandangan saya kelihatan sedikit ‘murah’ dari segi nilai estetika dan produksinya.

Khususnya babak yang membabitkan majlis privasi dan suasana di kelab malam.

Walaupun kehadiran babak berkenaan dianggap perlu bagi mengukuhkan ‘background story’ (latar cerita) watak agar penonton memahami punca konflik yang berlaku, namun ia sebenarnya boleh digarap dengan lebih teliti dan eksklusif.

Kekurangan ini tidaklah mencacatkan keseluruhan filem, namun ia tetap terasa sedikit janggal di tengah-tengah kualiti visual lain yang jauh lebih baik.

Dari sudut naratif, pujian harus diberikan kepada Pierre kerana mengangkat tema balas dendam wanita.

Tema sebegini mempunyai daya tarikan tersendiri, malah mengingatkan saya kepada filem M4M4 lakonan Nabila Huda, serta naskhah antarabangsa seperti I Spit on Your Grave dan Jennifer’s Body.

Kepuasan melihat watak utama menuntut bela atas penderitaannya adalah elemen yang sangat kuat, cuma bezanya kali ini, dendam itu dilunaskan menerusi jalan hitam iaitu persekutuan dengan syaitan.

Jarang sekali pengarah tempatan berani menonjolkan sisi gelap sebegini dengan gaya yang seberani ini.

Bercakap mengenai lakonan, Trisha Ooi membuktikan gelaran Pelakon Wanita Harapan yang dimenanginya pada Festival Filem Malaysia ke-33 bukanlah satu kebetulan.

Memegang watak Balqis, Trisha berjaya menterjemahkan penderitaan, ketakutan dan trauma seorang wanita dengan cukup berkesan.

Salah satu perincian yang sangat menarik adalah tabiat Balqis yang sering menarik getah di pergelangan tangannya.

Ia adalah satu mesej visual yang sangat kuat untuk menggambarkan keadaan ‘anxiety’ dan serangan panik dialaminya.

Penonton akan turut merasai kepedihan Balqis apabila satu demi satu kejahatan menimpa dirinya seolah-olah tiada titik noktah.

Selain Trisha, Mawar Rashid turut cemerlang menerusi watak Wati. Bukan mudah untuk melakonkan watak mangsa rasukan tanpa kelihatan dibuat-buat, namun Mawar berjaya memberikan persembahan meyakinkan.

Kehadiran barisan pelakon ‘otai’ seperti Khatijah Tan, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Vanida Imran dan Ashraf Muslim memberikan keseimbangan kepada filem ini.

Gabungan pelakon pelbagai generasi termasuk Aniq Suhair, Fadlan Hazim, Dai Fuad, Imranul Effendy dan Khenobu menjadikan naskhah ini terasa lebih padat serta mempunyai kelas tersendiri.

Menyentuh soal kesan khas, saya sedikit terkilan dengan penggunaan Imej Janaan Komputer (CGI) untuk watak syaitan Nar’sata.

Sewaktu majlis pengenalan filem ini sebelum penggambaran dimulakan, pihak produksi memperkenalkan seorang individu unik dengan ketinggian luar biasa untuk membawa watak itu.

Namun, Pierre menjelaskan kriteria yang diinginkan tidak tercapai menyebabkan pelakon berkenaan digugurkan.

Walaupun CGI digunakan tidaklah mengecewakan sepenuhnya, namun impaknya tentu lebih terasa jika ia menggunakan pelakon fizikal.

Bagaimanapun, Pierre menebus kekecewaan itu dengan penggunaan ‘practical effects’ (kesan praktikal) dan props yang sangat realistik.

Bagi peminat tegar genre seram ‘gore’, babak ngeri seperti kepala pecah, isi perut terburai dan organ manusia berlumuran darah nampak sangat nyata.

Ia memberikan rasa ‘seram fizikal’ yang jauh lebih berkesan berbanding kesan visual digital.

Filem ini ditutup dengan bayangan atau untuk sekuel di masa hadapan. Namun, masa depan francais ini terletak sepenuhnya di tangan penonton.

Jika sambutan dingin, maka tamatlah riwayat Nar’sata di sini. Nar’sata: Sekutu Setan akan mula menghantui pawagam seluruh negara bermula hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top