am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Siasatan terhadap sindiket pemerdagangan manusia yang dikenali sebagai ‘Geng Iqbal’ masih dijalankan dengan usaha mengesan dalang serta baki ahli kumpulan itu kini dipergiatkan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya setakat ini belum menemukan lelaki yang dikenali sebagai Iqbal, individu dipercayai menjadi ketua sindiket berkenaan.
Beliau berkata, jabatan itu kekal menjalin kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan tempatan dan luar negara, termasuk rakan sejawat di negara jiran sekiranya perlu bagi membantu operasi itu.
“Siasatan (kes Iqbal) masih dijalankan. Jabatan Imigresen (JIM) bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan berkaitan, sama ada di dalam mahupun luar negara bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dijalankan secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan,” katanya di sini.
Zakaria berkata, operasi risikan untuk mengenal pasti dan mengesan baki ahli sindiket itu juga sedang giat dilakukan.
“Usaha pengumpulan maklumat risikan kini tertumpu kepada pemetaan rangkaian penuh sindiket Iqbal, termasuk menjejaki serta mengenal pasti semua individu yang terbabit membawa masuk migran ke negara ini melalui laluan haram,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan terhadap Geng Iqbal serta sindiket pemerdagangan manusia yang lain akan diperhebat dan diteruskan secara tekal.
“JIM kekal komited sepenuhnya untuk menjejaki, meruntuhkan dan melumpuhkan sindiket seperti Geng Iqbal serta rangkaian jenayah rentas sempadan yang lain.
“Kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan akan terus diperkukuh, terutamanya dalam perkongsian risikan dan operasi bersama bagi mengekang segala bentuk aktiviti haram,” katanya.
Zakaria berkata, jabatan itu tidak akan berkompromi dalam memerangi pemerdagangan manusia dan jenayah berkaitan sempadan yang menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan negara serta ketenteraman awam.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan JIM melumpuhkan sindiket penyeludupan migran Iqbal dalam satu operasi khas pada 17 Januari 2026 hasil maklumat risikan dan orang awam.
Serbuan itu dijalankan pegawai dari Bahagian Pencegahan Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (Atipsom) serta Pencegahan Antipenyalahgunaan Tenaga Kerja Migran (Amla) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Kelantan.
Zakaria berkata, operasi itu tertumpu kepada premis yang digunakan sebagai ‘rumah transit’ sementara bagi migran yang dibawa masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak sah.
© New Straits Times Press (M) Bhd