JIM tahan 74 warga asing dalam operasi di Puchong

JIM tahan 74 warga asing dalam operasi di Puchong

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Puchong: Seramai 74 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi besar-besaran, di sini, semalam, yang turut membongkar taktik majikan menggunakan lesen perniagaan sah sebagai ‘perisai’ bagi melindungi penggajian pekerja asing tanpa dokumen.

Operasi Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya itu dijalankan pada jam 11 pagi hingga 8 malam hasil aduan orang awam serta risikan selama seminggu terhadap kegiatan warga asing yang disyaki bekerja tanpa dokumen sah dalam pelbagai sektor perniagaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, serbuan melibatkan beberapa premis perniagaan termasuk restoran, kedai makan, runcit, gunting rambut, dobi, kiosk serta pasar raya besar di sekitar kawasan terbabit.

“Seramai 59 pegawai JIM telah diatur gerak ke beberapa lokasi tumpuan di sekitar Puchong melibatkan pemeriksaan ke atas 30 buah premis, 186 warga asing dan 175 warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 74 warga asing yang terdiri dari warga Indonesia, Myanmar, Nepal, Bangladesh, India, Pakistan dan China

berumur di antara 23 hingga 45 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Selain itu, beliau berkata, lima Borang 29 Saman kepada Saksi turut dikeluarkan kepada warga Malaysia bagi membantu siasatan.

Lokman Effendi berkata, kegiatan ini dikesan apabila majikan didapati menggaji warga asing secara haram dengan menggunakan lesen perniagaan tempatan sebagai perlindungan bagi mengelak dikesan, semata-mata untuk meraih keuntungan mudah.

“Terdapat segelintir PATI dilihat semakin berani mencabar kewibawaan penguatkuasaan dengan membuat provokasi, enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan, cuba melarikan diri serta menggunakan pelbagai helah untuk mengaburi tindakan penguatkuasaan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja melanggar undang-undang negara malah boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat setempat,” katanya.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.

“Tindakan tegas juga diambil terhadap mana-mana majikan atau pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top