Lima rakyat Malaysia diselamatkan dalam insiden kapal karam di perairan Greece

Lima rakyat Malaysia diselamatkan dalam insiden kapal karam di perairan Greece

Kuala Lumpur: Lima rakyat Malaysia diselamatkan Pengawal Pantai Greece selepas kapal yang membawa mereka karam di perairan Kastellorizo, Greece pada Selasa (12 Mei).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa berdasarkan laporan awal, kapal berkenaan mengalami kerosakan teknikal dan sistem navigasi semasa pelayaran, menyebabkan ia melanggar terumbu karang sebelum tenggelam berhampiran perairan berkenaan.

“Susulan kejadian itu, tiga daripada rakyat Malaysia terbabit telah dilepaskan oleh pihak berkuasa Greece selepas melengkapkan proses dokumentasi dan imigresen.

“Bagaimanapun, dua lagi rakyat Malaysia kini ditahan oleh pihak berkuasa tempatan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang alam sekitar, khususnya berkaitan kerosakan terhadap ekosistem marin akibat pelanggaran terumbu karang,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menyatakan bahawa ia akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini mengikut keperluan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Greece yang berkaitan dan sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya bagi memastikan keselamatan, kebajikan serta hak mereka sentiasa terpelihara sepanjang proses perundangan ini berjalan,” menurut Wisma Putra.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top