Jimmy-Su Yin memukau singkir gandingan nombor satu dunia

Jimmy-Su Yin memukau singkir gandingan nombor satu dunia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin mencipta kejutan apabila menewaskan gandingan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di pusingan pertama Terbuka Singapura, hari ini.

Dalam perlawanan itu, Jimmy-Su Yin dilihat berdepan tugas sukar kerana turun bertemu pilihan pertama kejohanan, namun mereka berjaya menyerap tekanan dengan sangat baik untuk menang straight set 23-21, 21-16 dalam tempoh 43 minit.

Di set pertama, Yan Zhe-Dong Ping bermula agak baik dan beberapa kali berjaya mendahului lawan, namun wakil negara itu berjaya bangkit di pertengahan permainan sehingga kedudukan terikat 21-21 dan Jimmy-Su Yin memanfaatkan peluang terbaik untuk mendapatkan dua mata penting sekali gus membawa kelebihan di set seterusnya.

Gandingan negara itu bagaikan mendapatkan rentak apabila meneruskan momentum cemerlang itu dari awal dan terus menekan serta tidak membiarkan lawan mendapatkan rentak permainan, sekali gus memastikan kemenangan memihak kepada mereka dengan lebih mudah berbanding di set pertama.

Kemenangan ini sudah pasti satu pencapaian yang baik buat Jimmy-Su Yin kerana mereka adalah gandingan yang baru dibentuk dalam masa dua bulan.

Ia adalah kejohanan kedua mereka selepas turut menyertai Masters Malaysia minggu lalu, tetapi tersingkir awal.

Di pusingan 16 terbaik, mereka akan menanti pemenang antara wakil India, Rohan Kapoor-Gadde Ruthvika Shivani atau beregu Taiwan, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top