Doha: Delegasi peringkat tinggi Iran termasuk perunding utama Tehran dan Gabenor Bank Pusat berada di Doha pada Isnin bagi membincangkan perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) serta pelepasan dana yang dibekukan.
Lawatan ini menandakan kunjungan pertama pegawai kanan Iran ke wilayah berkenaan sejak bermulanya konflik di Timur Tengah yang menyaksikan Tehran melancarkan ribuan dron dan peluru berpandu merentasi Teluk termasuk ke Qatar.
Ia juga memberi isyarat peningkatan peranan Qatar dalam rundingan berkenaan yang sebelum ini banyak didominasi oleh Pakistan sebagai orang tengah.
“Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf dan Menteri Luar, Abbas Araghchi tiba di Doha awal hari ini bagi mengadakan perbincangan mengenai usaha diplomatik yang sedang berjalan untuk menamatkan konflik,” kata sumber kepada AFP yang tidak mahu namanya disiarkan.
Sumber itu menambah bahawa lawatan berkenaan akan memberi tumpuan kepada isu berkaitan Selat Hormuz dan uranium yang diperkaya pada tahap tinggi.
Katanya, Gabenor Bank Pusat turut menyertai delegasi bagi membincangkan isu dana dibekukan yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) sebagai sebahagian daripada perjanjian akhir.
Media Iran termasuk agensi berita Tasnim dan Fars turut melaporkan bahawa delegasi itu turut disertai oleh Araghchi dan Gabenor Bank Pusat Iran, Abdolnaser Hemmati.
Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) melaporkan lawatan itu adalah sebahagian daripada proses diplomatik dan delegasi berkenaan dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani.
Lawatan itu bertujuan menilai sama ada Washington benar-benar serius sebelum Iran bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata, kata IRNA.
“Kelihatan beberapa komitmen AS di bawah perjanjian ini akan dilaksanakan dengan bantuan Doha,” katanya.
Menurut Fars, AS bersetuju untuk melepaskan sebahagian dana Tehran yang dibekukan di luar negara di bawah sekatan antarabangsa dan menamatkan sekatan maritim terhadap kapal yang keluar masuk dari pelabuhan Iran sebagai pertukaran kepada pengurangan sekatan di Selat Hormuz.
Pada 2023, dana Iran sebanyak AS$6 bilion (kira-kira RM28.2 bilion) yang dibekukan di sebuah bank di Korea Selatan dipindahkan ke Qatar, sementara menunggu pembebasan lima warga AS yang ditahan oleh Iran.
Namun, dana itu tidak pernah dilepaskan susulan ketegangan hubungan yang semakin merosot selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




