KUALA LUMPUR – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berusaha memperkenalkan permainan tradisional Malaysia ke persada antarabangsa bagi memartabatkan warisan berkenaan sebagai produk pelancongan budaya negara.Ketua Pengarahnya, Mohd Amran Mohd Haris berkata, usaha itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memperluaskan daya tarikan melangkaui masyarakat tempatan.”Kita mengharapkan permainan tradisional menjadi satu produk yang dapat menarik minat masyarakat tempatan terutama generasi muda, malah boleh dijenamakan permainan yang diterima di peringkat antarabangsa,” katanya.Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Permainan Malaysia (FPM) 2026 di Padang Merbok pada Sabtu.Menurut Mohd Amran, permainan yang dipilih dipertandingkan dalam festival itu sudah mendapat pengiktirafan di bawah Daftar Warisan Kebangsaan daripada Jabatan Warisan Negara.”Permainan inilah kami pilih untuk dipersembahkan dan dipertandingkan dalam kalangan badan beruniform, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta agensi kerajaan dan swasta,” ujarnya.Sebanyak 10 permainan dipertandingkan iaitu Raja Dijulang, Galah Panjang, Kelereng, Tuju Tin, Congkak, Sepak Raga Ratus, Terompah Gergasi, Menyumpit, Memanah Tradisional dan Bola Sepak Kain Sarung.FPM 2026 merupakan program Pelancongan Budaya ke-14 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia (SUTRA).Pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori membabitkan 11 institusi pengajian tinggi pada Jumaat, sembilan agensi bagi kategori badan beruniform pada Sabtu serta 11 agensi kerajaan dan swasta pada Ahad.Mengulas usaha memastikan kelangsungan warisan itu, Mohd Amran berkata, sambutan yang diberikan pelajar pada hari pertama membuktikan permainan tradisional mampu menjadi medium interaksi yang menyeronokkan dalam kalangan peserta institusi pengajian tinggi.”Usaha kami adalah memastikan permainan tradisi bukan hanya diraikan atau dimainkan pada majlis tertentu. Kalau boleh, kita adakan semua pertandingan ataupun program,” ujarnya.Beliau turut berharap sokongan rakan kerjasama dan penaja dapat memastikan penganjuran itu diteruskan pada masa depan.Katanya, festival tiga hari itu menyasarkan 75,000 pengunjung, dengan lokasi tahun ini beralih dari Dataran Merdeka ke Padang Merbok.”Program ini bukan hanya pada siang hari sahaja, malah waktu malam turut diadakan konsert dan pengisian lain. Kita juga menyediakan jualan, pameran serta aktiviti interaktif untuk orang ramai merasai sendiri permainan tradisional,” katanya.Antara pengisian lain ialah Wau Run, Bengkel Seni Bela Diri Wanita, Demonstrasi Pembuatan Tanjak, Gamifikasi Wau, Pertandingan Diabolo, Kejohanan Kabaddi, Pertandingan Gusti Lengan dan Permainan Orang Asal.Katanya, sebanyak 117 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni budaya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima manfaat Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) MOTAC berjumlah RM6.926 juta pada 2025 bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti.



