am@hmetro.com.my
Marang: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang sedang mengesan ibu kandung dan waris kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, satu bulan.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang Encik Amizan Che Aziz berkata, kanak-kanak lelaki berkenaan di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai selepas mendapat perintah mengikut Seksyen 30(1)(c) dan Subseksyen 30(8) Akta kanak-kanak 2001 daripada Mahkamah Majistret Marang pada 27 Mac 2024 sehingga kini.
Menurutnya, kanak-kanak lelaki berkenaan dijumpai pada 21 November 2022 kira-kira jam 6.40 pagi di Kampung Sentul Patah, di sini, oleh orang awam yang mendengar bunyi tangisan bayi di tangga rumahnya.
Katanya, bayi itu dibaluti dengan kain tuala berwarna putih dan masih lagi beruri dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi rawatan lanjut.
“Bayi lelaki berkenaan pada awalnya dijaga oleh institusi kelolaan JKM selama satu tahun, empat bulan lalu.
“Demi kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak itu, kami mendapat perintah dari Mahkamah Majistret Marang untuk dijaga oleh Orang Yang Layak dan Sesuai,” katanya.
Menurutnya, usaha mengesan ibu kandung dan waris dilakukan bagi memberi maklum balas sebelum Kebenaran Pengangkatan dikeluarkan oleh mahkamah.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris kanak-kanak berkenaan diminta untuk menghubungi Pelindung JKM Daerah Marang, Rafatini di talian 09-6182350.
© New Straits Times Press (M) Bhd



