JKM Port Dickson cari waris kanak-kanak ditinggalkan di hospital

JKM Port Dickson cari waris kanak-kanak ditinggalkan di hospital

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Port Dickson sedang mengesan waris seorang kanak-kanak berusia dua tahun untuk mendapatkan hak penjagaan bagi keluarga angkatnya.

Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Port Dickson, Nurazlina Gani berkata, kanak-kanak itu diselamatkan pada 5 Oktober 2023 di Hospital Port Dickson.

“Kanak-kanak ini bernama Muhamad Syed Putra Abdullah yang mana pada ketika itu dia berusia sebulan sembilan hari ditinggalkan semasa menerima rawatan di hospital.

“Kanak-kanak ini sudah diambil oleh keluarga angkat namun masih belum mendapatkan sijil anak angkat (Sijil Pengangkatan) untuk memudahkan urusan persekolahannya di masa hadapan,” katanya ketika menghubungi hari ini.

Katanya, ibu kanak-kanak itu sehingga kini tidak dapat dikesan di sekitar Port Dickson.

“Semakan lokasi menunjukkan ibu kandung anak ini berada di Bukit Beruang, Melaka.

“Kami di JKM berharap agar siaran akhbar ini dapat mencari ibu kandung kanak-kanak ini bagi memudahkan urusan pengangkatan kerana dia kini sudah berusia dua tahun, dan akan bersekolah pada masa akan datang,” katanya.

Nurazlina berkata, dia berharap agar orang ramai yang mengenali atau tahu keberadaan ibu kandung Muhamad Syed Putra agar menghubungi JKM dengan kadar segera.

“Bagi yang tahu atau mengenali waris anak ini agar dapat menghubungi JKM Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top