Rakyat sedang nilai keberanian, keikhlasan pemimpin – Adam Adli

Rakyat sedang nilai keberanian, keikhlasan pemimpin – Adam Adli

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Rakyat sedang menilai keberanian, keikhlasan dan tekad pemimpin dalam memerintah negara demi kebajikan rakyat berdepan cabaran hidup masa kini.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli berkata, pimpinan parti Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya tidak mengubah sikap dan pendekatan diguna pakai selama ini memandangkan ia adalah cara parti yang akan ditawarkan dalam pilihan raya akan datang.

“Jangan ubah sikap dan pendekatan kita, kita ada model kepimpinan dan cara kita snediri. Itu yang harus kita tawarkan dalam pilihan raya nanti.

“Ingatkan balik rakyat, PH bukan duduk di atas demi kepentingan sendiri, bukan untuk kekayaan negara, bukan untuk susun projek, tetapi kita duduk di atas untuk tadbir negara supaya rakyat senang dan tidak khianat amanah yang diberi rakyat.

“Saya percaya, rakyat sedang menilai keberanian, keikhlasan dan tekad kita,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Perwakilan mewakili Melaka pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, usaha akar umbi yang selama ini menyokong parti harus terus dihargai dan kerana golongan itulah yang sanggup berkorban memastikan PH terus berjuang.

“Mereka yang bersama dengan kita selama ini orang-orang biasa, bukan orang-orang yang ada pangkat besar-besar, yang duduk bersama dengan kita dan berkorban untuk kita tak kira kecil atau besar, itu orang biasa.

“Mereka tahu kalau kuasa diberi pada PH, kita tak akan pecah amanah, kita akan tadbir urus negara dengan baik.

“Jentera kita di Johor mahu pun Melaka ada anak muda yang kerja siang, tetapi malam bertugas untuk parti. Ada ibu yang buka bilik gerakan tetapi di rumah masih masak seperti biasa, mereka tiada jawatan dan tiada. Ini yang buat kita berjaya selama ini, jangan kita tinggalkan,” jelasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top