am@hmetro.com.my
Pemain gitar kumpulan rock era 80-an dan 90-an Joe Burnmark atau nama sebenarnya, Zukifle Abdullah kini bergerak sebagai pemain gitar solo berkonsep Neo Classical masih lagi aktif dalam industri muzik tanah air.
Joe berkata tidak ramai yang mengetahui bagaimana karier muziknya bermula, apatah lagi darah seni yang mengalir mempunyai hubung kait yang kuat dengan datuknya yang sudah bermain muzik di sekitar Labis, Johor pada tahun 1950-an.
Katanya, ibunya juga ketika berusia 10 tahun sudah aktif mengadakan persembahan sekitar daerah Segamat dan lagu yang dipersembahkan kebanyakan lagu filem era 50-an.
“Kesinambungannya, karier muzik saya diteruskan dengan penubuhan kumpulan Burnmark dan kumpulan ini pernah menjuarai pertandingan Juara-Juara Rock 1984 di Johor Bahru.
“Sebelum kemunculan Burnmark, sekitar 80-an saya bersama bapa saudara menubuhkan kumpulan D’Band K yang bermaksud Di Biarkan dalam bahasa Jawa malahan saya ketika itu masih lagi dibimbing oleh bapa saudara.
“Malah saya juga pernah menyertai kumpulan Chinese Hokkien Labis, seterusnya mencari pengalaman dalam muzik,” katanya yang mempunyai darah keturunan Belanda dan Jawa.
Menurutnya, dia bersama anggota Burnmark seperti Jefri, Zainal, Amy dan Din Hamid kemudian muncul dengan lagu ciptaannya sendiri iaitu Secebis Rayuan di dalam kompilasi album Juara Juara rock 1 pada 1987.
Katanya, kerjaya dalam bidang muzik bertambah serius kerana bukan sahaja bermain alat muzik malah bertindak sebagai penyanyi, penerbit, pencipta lagu dan menulis lirik.
Katanya, nama Burnmark pula pernah ditukar kepada Naja dan sempat mengeluarkan satu album dengan lagu popularnya, Bunga Pesona.
“Saya kemudian bergerak solo sebagai pemain gitar dan sempat menghasilkan satu album Joe-Jasad Liar pada 1990 sebelum menyertai kumpulan Jasad Liar.
“Karier muzik saya tidak terhenti di situ kerana selepas era kedinginan muzik rock saya masih aktif dalam industri dan banyak bergerak secara solo,” kata Joe yang turut mewariskan bakat seninya kepada anaknya.
Menurut Joe, anaknya Johanna bermain keyboard, Putera Petrucci (dram), Wyne Zulqarnain (bass), Hazel Zukifle (vokalis) yang bersama-sama dalam kumpulan Johor Musical Force (JMF).
“Antara momen indah yang menjadi satu sejarah bersama kumpulan anak-beranak ini apabila sebuah karya saya sendiri berkonsep patriotik iaitu lagu Masyhur Johor menjadi pilihan sempena program Konvoi Setia Johor, Tunku Mahkota Johor pada 2019.” kata Joe yang turut mengeluarkan album gitar instrumental Joe Burnmark
Baroque Paradigma yang mengandungi beberapa petikan gitar instrumental.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai lagu single terbaharu Qalbu Dari Timur yang menimbulkan kontroversi bagi peminat gitar, Joe menjelaskan tidak timbul isu kononnya dia menciplak lagu Malmsteen Rising Force.
Katanya, tidak tepat tuduhan menciplak itu selain mereka yang menuduhnya kurang pengetahuan mengenai sesuatu karya muzik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




