London: Arne Slot mengakui Liverpool masih dalam proses pembinaan selepas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu terus bergelut apabila tewas buat kali ketiga berturut-turut menerusi kekalahan 2-1 kepada Chelsea, Sabtu lalu.
Untuk kali kedua dalam tempoh seminggu, misi mempertahankan kejuaraan Liverpool digugat dengan kekalahan pada saat akhir yang cukup memilukan.
Selepas tewas pada detik terakhir menentang Crystal Palace hujung minggu lalu, skuad Slot sekali lagi tergelincir apabila Estevao Willian meledak gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan di Stamford Bridge.
Ini adalah kali pertama Liverpool mengalami tiga kekalahan berturut-turut sejak 2023 ketika Jurgen Klopp masih menjadi pengurus dengan kekalahan kepada Bournemouth, Real Madrid dan Manchester City.
Bagi Slot, ia adalah pengalaman pertama sepanjang kerjayanya sebagai jurulatih merasai tiga kekalahan berturut-turut.
Malah ketika Liverpool menang pada awal musim, mereka sering memerlukan gol lewat untuk menutup kelemahan prestasi yang goyah.
Slot percaya pasukannya masih belum berfungsi sepenuhnya susulan perbelanjaan besar pada musim panas dan tragedi kematian penyerang Portugal, Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol.
Liverpool membelanjakan lebih £400 juta (RM2.5 bilion) untuk mendapatkan Alexander Isak, Florian Wirtz dan beberapa pemain lain, namun dua pembelian utama mereka masih belum menyerlah.
“Anda tidak pernah hampir dengan tahap ideal. Anda perlu bekerja keras untuk mencapai tahap tertentu dan sukar mengekalkan tahap itu kerana anda berdepan pasukan berkualiti lain.
“Kami melakukan banyak perubahan pada musim panas. Pemain tiba pada waktu berbeza. Dalam beberapa minggu terakhir hampir tiada masa untuk berlatih. Kami perlu sesuaikan mereka dengan gaya permainan kami.
“Jika kami seri hari ini, ia sebenarnya sudah menjadi permulaan hebat musim ini jika mengambil kira segala yang berlaku pada musim panas bersama Liverpool,” kata Slot.
Liverpool hanya berjaya melakukan percubaan tepat ke gawang selepas 51 minit menentang Chelsea yang kehilangan ramai pemain pertahanan akibat kecederaan dan penggantungan.
Moises Caicedo meletakkan Chelsea di depan menerusi rembatan jarak jauh yang mengagumkan sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.
Selepas membuka musim dengan tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan, The Reds tumbang kepada Palace, kemudian kepada Galatasaray dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) pertengahan minggu sebelum episod terburuk mereka di London Barat.
The Blues, yang tewas dalam dua perlawanan liga sebelum ini, turut bergelut mencari rentak, namun Liverpool gagal memanfaatkannya.
“Satu lagi kekalahan mengecewakan, itu jelas. Kami mencipta tiga peluang besar pada babak pertama, mereka hanya ada satu dan berjaya menjaringkannya,” kata Slot, yang pasukannya akan menentang Manchester United selepas rehat antarabangsa.
“Persembahan separuh masa kedua saya suka. Kami mencipta lebih daripada cukup untuk menjaringkan lebih daripada satu gol. Ada ketika saya fikir kami akan menang.
“Kami tidak membuat hantaran akhir dengan baik dalam peluang-peluang itu. Aksi berbalas serangan berlaku pada minit-minit terakhir. Kedua-dua pasukan boleh menang dan Chelsea berjaya.”
Penyerang Sweden, Isak, dan penyerang Mesir, Mohamed Salah sekali lagi gagal menemui keserasian positif, namun Slot yakin mereka akan serasi akhirnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




