59 kilometer jalan protokol dan utama di Kuala Lumpur diturap secara berperingkat

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 59 kilometer (km) jalan protokol dan utama di sekitar ibu negara akan diturap serta diselenggara secara berperingkat dengan sasaran meningkatkan jangka hayat turapan sehingga 50 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pelaksanaan kaedah pengisaran dan penurapan dilakukan membolehkan jangka hayat jalan mencapai sehingga 50 peratus berbanding tampalan biasa selain mengurangkan kos penyelenggaraan jalan sehingga 40 peratus.

“Kali ini (kerja penurapan jalan) menelan perbelanjaan besar tetapi kami mahu pastikan perbelanjaan ini berbaloi.

“Disebabkan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan memantau aduan berkaitan jalan berlubang bagi memastikan segala perbelanjaan ini tidak membazir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan di lokasi turapan berhampiran Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Hannah berkata, walaupun DBKL mempunyai bajet, namun perbelanjaan agensi itu juga sangat tinggi kerana jumlah kenderaan yang masuk ke Kuala Lumpur pada waktu puncak melebihi satu juta.

“Kita anggarkan kira-kira tiga juta kenderaan masuk ke Kuala Lumpur setiap hari. Ini bermaksud jalan-jalan tidak mampu bertahan kerana penggunaan itu amat tinggi.

“Jadi, pelaksanaan baik pulih jalan ini adalah penting bagi pemuliharaan jalan bagi jangka masa panjang dengan kerja-kerja penyelenggaraan berjalan selama 24 minggu.

“Pihak kontraktor akan memulakan kerja pada jam 10 malam hingga 5 pagi supaya tidak mengganggu trafik pada waktu puncak. Orang ramai diharap bersabar sepanjang tempoh itu,” katanya.

Sementara itu, Fadlu berkata, DBKL membelanjakan lebih RM100 juta bagi turapan membabitkan lapan jalan protokol di ibu negara yang sebelum ini tidak pernah dilakukan secara komprehensif.

“Turapan lapan jalan ini memfokuskan kepada laluan utama yang menjadi nadi pergerakan warga kota, pengguna harian serta kenderaan dari dalam dan luar Kuala Lumpur. Ia dibahagikan kepada dua fasa.

“Fasa Pertama membabitkan lima laluan dan mula dilaksanakan secara berperingkat pada

bulan ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM61.64 juta dan tempoh pelaksanaan selama 24 minggu,” katanya.

Beliau berkata, lima laluan yang terbabit dalam fasa pertama adalah Lebuhraya Sultan Iskandar-Jalan Damansara-Jalan Istana; Bulatan Syed Putra-Mid Valley Megamall serta Jalan Sultan Ismail (susur Jalan Kuching-Jalan Imbi) dan Jalan Ampang (susur Intermark- Jalan Raja Chulan).

“Dua lagi laluan adalah susur masuk Lebuhraya berhadapan Lapangan Terbang Lama (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 1) sehingga susur masuk Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) dan susur masuk Lebuhraya SPE-pintu gerbang (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 2).

“Fasa kedua pula membabitkan tiga laluan iaitu Bulatan Batu Caves-simpang Jalan Sultan Sulaiman (Jalan Kuching dan Jalan

Kinabalu); Bulatan Kampung Pandan-Menara PJD (Jalan Tun Razak) dan pintu gerbang sempadan Kuala Lumpur-Selangor (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 3).

“Kerja-kerja penurapan fasa kedua membabitkan 15 kilometer akan bermula pada September ini dengan tempoh pelaksanaan selama 24 minggu 15 km jalan dengan kos sebanyak RM43 juta,” katanya.

Menurutnya, penurapan jalan itu perlu dilaksanakan bagi memastikan semua sistem rangkaian jalan raya di Kuala Lumpur berada dalam keadaan terbaik bagi warga kota.

“Selain kerja pengisaran dan penurapan di laluan-laluan itu, kami juga akan meneruskan kerja penyelenggaraan bagi jalan lain di Kuala Lumpur membabitkan 2,000 km jalan dengan kos lebih RM100 juta yang ditetapkan untuk bajet tahun ini.

“Saya rasa banyak jalan di Kuala Lumpur ketika ini berlubang. Jadi, kami rasa lebih baik pengisaran dan penurapan kerana kaedah itu lebih tahan lama berbanding tampalan biasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top