Joe Flizzow diiktiraf Ikon Belia Johor

Joe Flizzow diiktiraf Ikon Belia Johor

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Hip Hop terkenal, Joe Flizzow, 46, sekali lagi melakar pencapaian bermakna buatnya apabila menerima pengiktirafan sebagai Ikon Belia Johor (Penggiat Seni) sempena Anugerah Sukan Johor ke-31 (ASJ31).

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak menerimanya pada majlis pelantikan Ikon Belia Johor, sebagai tanda penghormatan kepada sumbangannya terhadap dunia seni, budaya, dan pembangunan anak muda.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja penghormatan kepada saya secara peribadi, tetapi juga kepada seluruh anak muda Johor yang berani bermimpi dan berusaha mencapai kejayaan dalam apa jua bidang,” katanya.

Pengiktirafan berkenaan menjadi satu lagi pencapaian bermakna buat penyanyi Havoc itu yang tidak hanya dikenali sebagai ikon seni, tetapi juga seorang pemimpin industri dan usahawan berjaya.

Melalui karya muzik, perniagaan dan platform pembangunan bakat, dia terus membuktikan bahawa seni mampu menjadi wahana untuk perubahan positif dalam masyarakat.

Penganugerahan ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya Joe sebagai salah seorang figura paling berpengaruh dalam dunia seni dan belia, bukan sahaja di Johor, malah di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Joe melakar sejarah menerima pelbagai anugerah berprestij baik dalam negara dan antarabangsa. Sumbangannya sebagai anak seni terus disanjungi ramai pihak.

Dia juga diberi mandat dalam kepimpinan industri dengan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Def Jam Recordings Southeast Asia, label hip-hop paling berprestij dan berpengaruh di dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top