Johor akan bincang syarat operasi bazar Ramadan

Johor akan bincang syarat operasi bazar Ramadan

Johor Bahru: Kerajaan Negeri Johor akan membuat keputusan berhubung operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memaklumkan peniaga tapak sebelum akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor, Ayub Jamil berkata, segala keputusan akan dibuat selepas mesyuarat berkaitan kedudukan operasi bazar Ramadan.

“Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Johor akan membincangkan dengan semua PBT menyelaraskan dan menetapkan syarat-syarat operasi Bazar Ramadhan dan Bazar Aidilfitri bagi tahun ini.

“Perkara utama bagi setiap operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri ini ialah ia tidak menjadikan satu kawasan perniagaan yang bersesak. Lokasi bazar Ramadan perlu mempunyai kawasan yang luas serta lapang dan jalan keluar masuk sehala,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ayub, berikutan penularan Covid-19 tahun lalu, tiada bazar Ramadan dibenarkan beroperasi sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya berdasarkan maklumat pada tahun lalu dan sebelum ini, 12,000 peniaga berdaftar dengan PBT Johor dengan 220 tapak lokasi bazar Ramadan tahun lalu.

“Pada tahun 2019, Bazar Ramadan di Johor merekodkan anggaran hasil jualan sebanyak RM200 juta hingga RM250 juta. Usaha ini dilihat bakal memberi manfaat dan peluang kepada ramai peniaga tapak bazar Ramadan dan juga bazar Aidilfitri di Negeri Johor pada tahun ini,” katanya.

Scroll to Top