Johor benar solat fardu ikut kapasiti masjid, surau

Johor benar solat fardu ikut kapasiti masjid, surau

bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Johor membenarkan solat fardu dan Jumaat di masjid dan surau dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal, bermula esok.

Dalam kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanti; Pengarah Jabatan Agama Islam negeri Johor, Datuk Md Rofiki Samsudin dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, berkata kebenaran itu diberi selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semua perhimpunan untuk tujuan mengimarahkan seluruh masjid dan surau adalah dibenarkan.

“Ia termasuk kuliah dan membudayakan al-Quran, bacaan surah yasin, tahlil, solat hajat, solat sunat berjemaah, kelas takmir terhad penceramah dalam daerah sahaja kecuali Pegawai Agama Islam Negeri Johor dibenarkan berceramah di semua daerah negeri Johor.

“Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dibenarkan mengikut aktiviti pengimarahan di masjid dan surau. Malah majlis penyerahan bantuan adalah dibenarkan tidak melebihi satu jam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan aktiviti sepanjang bulan Ramadan termasuk solat sunat tarawih dan aktiviti qiamullail adalah dibenarkan.

Beliau berkata, bagi tadarus dan khatam Al-Quran dibenarkan tidak melebihi satu jam.

“Jamuan berbuka puasa dan sahur di masjid dan surau dibenarkan dan hendaklah disediakan secara berbungkus. Segala aktiviti memasak adalah tidak dibenarkan di kawasan masjid dan surau namun edaran bubur lambuk dibenarkan.

“Kehadiran jemaah perlu diberi keutamaan kepada rakyat tempatan dan penduduk tetap sahaja.

“Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau juga hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah fardu lima waktu serta kegiatan pengimarahan berjalan dengan lancar serta mematuhi semua pekeliling dan garis panduan yang dikeluarkan oleh JAINJ.

“Ia termasuk memakai pelitup mulut, mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri. Pemeriksaan suhu, rekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau dalam buku pendaftaran yang disediakan oleh pihak masjid dan surau,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top