Pentas adik-beradik pamer bakat, termasuk wakil negara berbeza

Pentas adik-beradik pamer bakat, termasuk wakil negara berbeza

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kehangatan Piala Dunia 2026 terus mencuri tumpuan peminat bola sepak global apabila turut mempamerkan kehebatan aksi adik-beradik.

Menariknya pada edisi kali ini, ada dalam kalangan mereka terpaksa mengetepikan hubungan darah daging seketika demi menggalas tanggungjawab mewakili negara masing-masing.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti kisah keluarga Williams membabitkan bintang sayap sensasi, Nico Williams bersama Sepanyol dan abangnya, Inaki yang mewakili Ghana.

Pemilihan Inaki menyarung jersi Ghana adalah bagi merealisasikan impian datuknya selain menghormati asal usul keturunan keluarga.

Jejak haluan berbeza itu turut disusuli pasangan Desire Doue yang beraksi untuk Perancis, sementara abangnya, Guela mewakili Ivory Coast.

Turut memahat nama adalah John Souttar yang terus menjadi nadi pertahanan Scotland manakala adiknya, Harry Souttar memilih untuk berbakti bersama Australia.

Melengkapkan senarai berlainan negara ini adalah penyerang berbisa Belanda, Brian Brobbey dan saudara seibunya, Derrick Luckassen yang beraksi untuk skuad Ghana.

Dalam pada itu, saingan ini turut menyaksikan kelebihan buat pasukan yang dibarisi adik-beradik di bawah satu bendera yang sama.

Skuad Perancis jelas beruntung kerana memiliki dua pertahanan kebal berkelas dunia menerusi gandingan Lucas Hernandez dan Theo.

Dibesarkan bersama oleh seorang ibu tunggal, keakraban dua beradik itu menjadikan benteng skuad Les Bleus cukup utuh setiap kali mereka digandingkan di atas padang.

Kem Cape Verde pula selesa mempertaruhkan kelibat Laros Duarte dan Deroy yang bertindak menggerakkan jentera tengah pasukan.

Bagi skuad Curacao, sentuhan kreatif serta pengalaman luas Leandro Bacuna dan Bacuna sentiasa ditagih untuk mengelirukan pihak lawan.

Bagaimanapun, pasangan kembar Belanda, Jurrien Timber dan Quinten Timber mengalami detik mendukacitakan apabila hajat mereka beraksi tidak kesampaian selepas Jurrien terpaksa digugurkan daripada skuad akhir akibat masalah kecederaan pangkal paha.

Situasi itu menyaksikan hanya Quinten menggalas cabaran keluarga mereka bagi memperkuatkan jentera tengah skuad Oranje pada edisi kali ini.

Sama ada terpaksa bersemuka sebagai lawan atau terus berganding bahu, kelibat pemain adik beradik ini membuktikan Piala Dunia sentiasa menawarkan keunikan dan daya tarikannya yang tersendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top