Jojo sedia lunas dendam terhadap Estupinan dalam pertarungan ulangan

Jojo sedia lunas dendam terhadap Estupinan dalam pertarungan ulangan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peluang membalas kekalahan lalu menjadi pembakar semangat buat sensasi Muay Thai negara, Johan ‘Jojo’ Ghazali apabila bertemu semula jaguh Colombia, Johan Estupinan dalam pertarungan ulangan pada 11 Disember ini.

Pertembungan dua petarung muda flyweight itu bakal berlangsung di The Inner Circle 42, sekali gus membuka peluang buat Jojo menebus kekalahan kepada Estupinan dalam pertemuan pertama mereka pada ONE 170, Januari tahun lalu.

Petarung berusia 19 tahun itu tewas menerusi keputusan sebulat suara, biarpun terlebih dahulu menjatuhkan lawannya itu pada pusingan pertama.

Namun, Estupinan bangkit menjatuhkan Jojo pada pusingan kedua sebelum menguasai pertarungan pada pusingan terakhir untuk meraih kemenangan, sekali gus menjadi antara kekalahan paling sukar dalam perjalanan awal karier petarung kelahiran Malaysia-Amerika Syarikat itu.

Sebelum kekalahan itu, Jojo mencipta nama menerusi rekod enam kemenangan daripada tujuh pertarungan awalnya bersama ONE Championship sehingga memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM406,650) dan menarik perhatian peminat sukan tempur antarabangsa.

Bagaimanapun, perjalanan petarung yang terkenal dengan kuasa tumbukan serta gaya persembahan penuh karisma itu tidak sentiasa mudah apabila mencatat rekod tiga kemenangan dan tiga kekalahan ketika berdepan kelompok pencabar muda terbaik divisyen berkenaan.

Di bawah bimbingan juara dunia kickboxing featherweight ONE, Superbon, Jojo kini dilihat semakin matang dan tajam dalam gelanggang termasuk ketika menewaskan Diego Paez pada The Inner Circle 35, Oktober lalu.

Kemenangan itu bukan menjadi suntikan keyakinan buat Jojo menjelang pertemuan semula dengan Estupinan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top