Jasin: Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Datuk Khaidirah Abu Zahar atas dakwaan berkempen menggunakan premis dan jentera kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Siti Aishah Shaik Ismail berkata, laporan polis terhadap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim itu dibuat oleh wakil PH di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, hari ini.
Aishah berkata, Khaidirah didakwa melakukan perbuatan itu semasa hadir pada majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima bersempena dengan sambutan Deepavali, dan segala bukti bergambar serta rakaman berkaitan perkara itu telah diserahkan kepada pihak polis.
“Kita serahkan bukti (Khaidirah) menyalahgunakan Kompleks Japerun Rim untuk adakan majlis itu, yang sepatutnya tidak lagi boleh digunakan untuk program berunsur politik sebaik sahaja DUN dibubarkan, biarpun sebelum ini bangunan berkenaan pejabat beliau sewaktu menjadi wakil rakyat di sini.
“Kita juga dapati bakul makanan yang beliau berikan ada tertera tulisan MPJ (Majlis Perbandaran Jasin), maknanya itu aset (sumbangan) kerajaan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH DUN Rim di sini, hari ini.
Aishah berkata, pihaknya juga mempunyai bukti bahawa terdapat beberapa pegawai MPJ yang memakai pakaian memaparkan wajah Naib Ketua UMNO Jasin sepanjang majlis penyampaian sumbangan berkenaan berlangsung.
Beliau berkata, segala bukti berkaitan isu terbabit turut dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, sambil menggesa siasatan segera, telus dan bebas dilakukan, termasuk memberikan penjelasan sewajarnya kepada rakyat.
“Kami tidak mempertikaikan hak rakyat untuk menerima bantuan, lebih-lebih lagi menjelang sambutan perayaan Deepavali. Bantuan kepada rakyat adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.
“Namun, kami memandang serius pembabitan calon BN dalam program tersebut kerana ia menimbulkan persoalan besar mengenai kemungkinan penggunaan jentera, premis dan kemudahan kerajaan untuk memberikan kelebihan kepada calon tertentu ketika pilihan raya sedang berlangsung,” katanya.
Pada PRN Melaka kali ini, PH mempertaruhkan Ketua Wanita Cabang PKR Jasin Esma Eazreen Husin di DUN Rim dalam pertarungan satu lawan satu menentang Khaidirah.
SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 November.
© New Straits Times Press (M) Bhd




