Ungkapan ‘politik itu kotor’ antara ungkapan yang sering kali diungkapkan oleh pihak yang sangat mual dengan politik terutama politik kepartian. Sebagai akibatnya, segala yang berhubungan dengan politik dianggap sesuatu yang patut dijauhi.
Kadangkala didapati sebahagian masyarakat yang langsung tidak mahu menyertai sebarang aktiviti yang berkaitan politik, malah ada juga yang memandang serong terhadap majlis atau program yang melibatkan ‘orang politik’.
Persoalannya, adakah benar politik itu kotor seperti yang ditanggapi oleh sesetengah orang? Apakah benar politik itu nista sehinggakan ia patut dijauhi dan ditinggalkan? Apakah faktor utama yang mendorong sebahagian masyarakat berpandangan sedemikian rupa?
Jika dirujuk kepada definisi politik yang dikemukakan oleh Weber, ia bermaksud kuasa (power) yang dimiliki oleh kepemimpinan atau pengaruh kepemimpinan yang berkaitan dengan politik atau sekarang ini disebut sebagai negara (state).
Dalam definisi lain, dijelaskan bahawa politik adalah hal yang berkaitan dengan pengurusan pentadbiran pemerintahan dan negara.
Sekiranya politik bermaksud sedemikian rupa, maka politik mempunyai kedudukan penting dalam kehidupan. Ia menjadi setara dengan beberapa aspek kehidupan yang lain seperti ekonomi, sosial, kebudayaan dan sebagainya.
Bahkan dalam keadaan tertentu, politik menjadi lebih tinggi berbanding yang lain kerana peranannya dalam proses perubahan sosial.
Hal ini selari dengan pandangan Prof Muhammad Syukri Salleh yang menegaskan bahawa politik sebenarnya berhubungan dengan hampir semua aspek kehidupan masyarakat.
Jelas di sini bahawa politik tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan manusia kerana ia usaha ke arah mewujudkan kebaikan ummah. Hal ini sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai umat Islam.
Oleh sebab itu, dalam al-Quran Allah SWT menyeru umat Islam agar menjadi insan rabbani.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama dan hikmat serta pangkat nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: ‘Hendaklah kamu menjadi orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah’. Tetapi (sepatutnya ia berkata): ‘Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” (Surah ali Imran ayat 79)
Berhubung dengan ungkapan insan rabbani ini, Imam Ibn Jarir al-Tabari yang dikenali dengan Imam al-Mufassirin mengatakan bahawa insan rabbani ialah seseorang yang memenuhi lima kriteria.
Pertama, faqih iaitu seseorang yang memahami Islam dengan baik; kedua, alim iaitu seseorang yang memiliki ilmu pengetahuan; ketiga, basyir bi al-siyasah iaitu seseorang yang mempunyai ilmu dan bijak berpolitik; keempat, basyir bi al-tadbir iaitu seseorang yang mempunyai ilmu dan berkemahiran dalam pengurusan pentadbiran; dan kelima, qa’im bi syu’un al-ra’iyyah bi ma yuslihum fi dunyahum wa dinihim iaitu seseorang yang melaksanakan segala urusan rakyat yang mendatangkan kebaikan kepada mereka, sama ada dalam urusan dunia mahupun akhirat.
Berdasarkan tafsiran Imam Ibn Jarir al-Tabari tentang insan rabbani ini, agama dengan politik jelas mempunyai hubungan. Namun, hubungan ini patut diawasi agar ia berjalan di landasan betul iaitu politik tidak boleh dibiarkan mendominasi agama, sebaliknya agama yang patut mencorakkan politik agar tidak berkembang mengikut seleranya sendiri sehingga memecahbelahkan masyarakat.
Agama ialah perkara suci yang mendasari kehidupan seseorang. Dalam hal ini, agama tidak boleh sama sekali dikotori oleh kepentingan politik, kerana apabila agama berada dalam dominasi politik, maka agama akan terdedah kepada penyelewengan.
Akibatnya agama tidak lagi menjadi kekuatan yang berperanan menyelesaikan berbagai bentuk penindasan dan ketidakadilan, sebaliknya agama akan berkembang menjadi kekuatan yang menindas dan kejam.
Oleh sebab itu, agama wajib diletakkan sebagai sesuatu yang dominan sehingga dapat mengarahkan politik agar tidak berkembang menurut kehendaknya sendiri yang boleh membahayakan kehidupan.
Justeru, bagi membolehkan agama menjalankan peranan moral tersebut, maka agama patut mendominasi politik. Apabila agama mendominasi politik, maka agama mampu mengarahkan politik agar tidak berkembang menjadi kekuatan yang menekan kehidupan dan menyimpang daripada batas moral dan etika agama.
Sebenarnya, hal ini akan melahirkan politik mulia, iaitu politik yang mementingkan kebaikan ummah dengan menghindari segala bentuk perebutan kuasa melalui kekerasan, penindasan dan kekejaman.
Hal ini termasuk juga memperalatkan orang lain atau sesuatu organisasi demi mencapai kemahuan politik peribadi.
Kalau memang politik mempunyai kedudukan sedemikian, apa punca sebenar politik itu dianggap ‘kotor’? Dalam hal ini saya berpandangan, politik dipandang sebagai sesuatu yang ‘kotor’ kerana ia diuruskan pihak yang tidak mempunyai lima kriteria sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Jarir al-Tabari sebelum ini iaitu faqih, ‘alim, basyir bi al-siyasah, basyir bi al-tadbir, dan qa’im bi syu’un al-ra’iyyah bi ma yuslihum fi dunyahum wa dinihim.
Pihak yang tidak memenuhi lima kriteria ini dikenali juga sebagai ahl al-mufsidin (orang yang melakukan kerosakan).
Apabila urusan politik diuruskan oleh ahl al-mufsidin, maka berlaku ‘politik kotor’ seperti politik yang penuh dengan cacian, makian, saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain, mendedahkan keaiban serta kelemahan orang dan sebagainya.
Apabila hal ini berlaku, usaha yang dapat membawa kebaikan dan perubahan kepada masyarakat kian terabai. Banyak masa dalam aktiviti politik dihabiskan untuk hal perebutan kuasa dan demi mencapai kemahuan politik peribadi.
Sudah menjadi tabiat sebahagian orang politik kini menggunakan pendekatan mencaci dan mencela satu sama lain. Pada hakikatnya, setiap cacian dan celaan yang keluar dari mulut itu mempunyai pengaruh dan implikasi yang besar terhadap orang lain.
Ia pasti akan memberi kesan mendalam di hati orang lain yang ditujukan dengan cacian dan celaan itu. Imam al-Ghazali berkata, “Kata-kata yang masuk ke dalam hati menerusi telinga adalah ibarat makanan yang masuk ke dalam perut menerusi mulut. Ada yang memberi manfaat dan ada yang menjadi mudarat. Ada yang menjadi penawar dan ada yang menjadi racun.”
Apabila wujud orang politik yang suka mencaci dan mencela orang lain dalam berkempen, maka ia menandakan orang politik tersebut memiliki jiwa yang kasar dan kotor.
Rasulullah SAW telah menekankan bahawa seorang Mukmin yang sejati tidak sekali-kali menghamburkan kata-kata yang kasar, kotor, memaki, mengeji dan seumpamanya.
Selain cacian, ada juga sebahagian orang politik yang berkempen dengan menggunakan pendekatan mendedahkan segala kelemahan dan keburukan orang lain, tanpa cuba menonjolkan kekuatan dan kelebihan yang dimiliki.
Sebenarnya, penggunaan pendekatan sebegini dalam berkempen terutama oleh pemimpin yang beragama Islam amat berbahaya.
Pemimpin yang menang dengan cara sebegini bukan menang kerana kekuatan dan kelebihanya, tetapi menang disebabkan ramai orang termakan dengan segala kelemahan dan keburukan orang lain yang dicanangnya.
Kesimpulannya, berpolitik itu adalah mulia dan bernilai ibadah apabila ia direalisasikan secara bermoral. Sebagai pengukuran kepada politik moral itu, ia hendaklah memenuhi paling tidak empat syarat utama.
Pertama, niat ikhlas kerana Allah SWT dan dengan harapan untuk mendapat keredaan-Nya; kedua, bentuk usaha dan tugas yang tidak melanggar syariat; ketiga, dilaksanakan selaras dengan prinsip-prinsip syariat dan akhlak Islam seperti amanah, adil, bertanggungjawab dan sebagainya; keempat, segala usaha dan tugas yang dilakukan itu tidak melalaikan mereka daripada menunaikan ibadah asas atau disebut sebagai ibadah khusus.
Syarat ini pula hanya dapat dipenuhi oleh seseorang ahli politik yang mempunyai ciri-ciri insan rabbani.
Penulis Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




