am@hmetro.com.my
Kulim: “Kejadian ribut dan angin kencang petang tadi sangat kuat hinggakan saya nampak beberapa bumbung rumah berterbangan dan rosak. Waktu kejadian disertai hujan lebat dan banyak jalan dinaiki air,” kata penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Madie, 43.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang, kira-kira 10 rumah di Taman Jati, Taman Selasih dan Kampung Padang Kulim rosak akibat kejadian itu selain pokok tumbang di hadapan Rumah Amal Kulim.
Menurut Madie yang menetap di Taman Selasih berkata, ketika kejadian dia berada di luar kerana mempunyai urusan dan sewaktu kejadian, dia nampak ada bumbung rumah penduduk diterbangkan angin.
“Memang takut melihat kejadian depan mata tapi tak lama lepas tu, hujan berhenti sekitar jam 5.10 petang dan nampak banyak pokok tumbang serta dahan patah.
“Tak pernah lagi tengok angin sekuat itu tetapi mujur tiada yang cedera, ” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA), Amirul Aliff Ahmad berkata, setakat jam 6 petang tadi, pihaknya hanya menerima panggilan berkaitan pokok tumbang di daerah itu.
Beliau berkata, seramai lima anggota APM Kulim terbabit dalam operasi memotong dan membersihkan kawasan pokok tumbang di sebelah Masjid Kulim; Kulim Evenue; Jalan Pegawai Kampung Bukit Awie; Kuaters Pejabat Daerah Kulim dan Taman Kenari.
“Setakat ini kami tidak menerima panggilan membabitkan kerosakan rumah namun saya menasihatkan penduduk yang terjejas supaya jika ada kes, gunakan saluran panggilan 999 kerana melalui sistem ini ia akan merekod panggilan dan bantuan akan disalurkan secara berperingkat.
“Setakat ini operasi masih dilakukan anggota APM untuk memotong dahan pokok tumbang, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




