AMMAN: Jordan semalam membebaskan 16 individu ditahan kerana ‘menghasut’ atas permintaan Raja Abdullah II, menurut pendakwa raya, seminggu selepas rancangan menjatuhkan kerajaan negara itu digagalkan.
Bagaimanapun, dua suspek utama iaitu bekas ketua istana, Bassem Awadallah dan bekas utusan khas ke Arab Saudi, Sharif Hassan bin Zaid, kekal dalam tahanan, kata Brigadier Jeneral Hazem al-Majali.
Beliau berkata, keputusan untuk membebaskan 16 individu itu ketika masih dalam siasatan dibuat atas permintaan diraja, tanpa memperincikan sama ada ia pengampunan terakhir ataupun pembebasan sementara.
Kesemua 16 individu yang ditahan termasuk Awadallah dan Zaid disiasat dalam kes ‘mengancam keamanan dan kestabilan di Jordan’.
Terdahulu, Abdullah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan istana mengarahkan pihak berkuasa membebaskan ‘saudara’ yang diperdaya, dianiaya dan diheret di dalam hasutan ini’ supaya mereka menyertai keluarga secepat mungkin Ramadan ini.
Raja Abdullah II menitahkan permintaan itu selepas didakwa dilobi tokoh penting dari seluruh Jordan, menggesa baginda bertolak ansur, lapor stesen televisyen negara, Al-Mamlaka dan agensi berita Petra.
Menurut Majali, Awadallah dan Zaid bagaimanapun tidak dibebaskan kerana peranan mereka dan tahap hasutan yang berbeza berbanding 16 individu lain yang dibebaskan.
Pada 3 April lalu, seramai 18 suspek ditangkap pihak berkuasa kerana mahu menjatuhkan kerajaan Jordan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Ayman Safadi, menyifatkan tindakan itu sebagai ‘rancangan jahat’.
Kes itu diserahkan kepada Mahkamah Keselamatan Negara yang dianggotai hakim tentera dan sivil, yang hanya berurusan dengan kes pengkhianatan tertinggi, pengintipan, pengedaran dadah, pemalsuan wang dan keganasan.
Mahkamah memulakan siasatan pada 14 April selepas pendakwa raya Amman, Hassan Abdallah, mengeluarkan perintah menegah (gag order) yang melarang penerbitan sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan.
Media Jordan turut diarahkan untuk hanya menunggu kenyataan rasmi sebelum menyiarkan apa-apa berkaitan tangkapan kes berkenaan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




