Jovian Mandagie Muflis, Gagal Bayar ‘Pinjaman Persahabatan’ RM5.28 Juta

Jovian Mandagie Muflis, Gagal Bayar ‘Pinjaman Persahabatan’ RM5.28 Juta

Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas gagal melunaskan pinjaman persahabatan berjumlah lebih RM5.28 juta kepada sebuah syarikat kejuruteraan.

Memetik laporan Berita Harian, perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan Cekap Air Sdn Bhd pada 20 November tahun lalu.

Menurut dokumen mahkamah, Jovian yang juga bekas menantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2023, sekali gus melakukan perbuatan kebankrapan dalam tempoh enam bulan sebelum petisyen difailkan.

Syarikat berkenaan mendakwa, jumlah hutang itu termasuk faedah mencecah RM5,284,340.66 yang perlu dibayar selepas Mahkamah Tinggi membenarkan penghakiman terus terhadap Jovian pada 2 April 2023 dalam satu saman sivil.

Peguam syarikat, Siti Nur Athirazatti Rohizad berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang selepas Jovian didakwa tidak mematuhi keputusan mahkamah.

“Selepas mendapat kebenaran keluarkan Notis Kebankrapan, kami teruskan dengan Petisyen Pemiutang yang akhirnya dibenarkan mahkamah hari ini.

“Permohonan defendan untuk membatalkan dan menggantung notis serta petisyen juga ditolak,” katanya.

Difahamkan, kes bermula apabila Jovian gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan oleh Cekap Air atas dasar kepercayaan.

Saman berhubung perkara itu difailkan pada 16 Mei 2023, dengan syarikat mendakwa pinjaman dibuat atas permintaan lisan Jovian yang ketika itu dikatakan kenalan kepada pengarah syarikat, Yong Zhen Wei.

Wang tersebut dipindahkan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian, dan penerimaan dana disahkan sendiri oleh firma itu atas arahan defendan.

Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus dijadualkan didengar pada 15 September ini.

Sumber: Berita Harian

Scroll to Top